Raub menunjukkan biskut dan kek ganja yang dihasilkan selepas melakukan lima serbuan, pada sidang akhbar di IPD Johor Bahru Selatan, Johor Bahru, hari ini

JOHOR BAHRU – Menghasilkan dadah dalam bentuk biskut dan kek untuk kegunaan sendiri sebelum dipasarkan merupakan usaha yang dilakukan oleh tiga sindiket untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, biskut dan kek daripada ganja itu dipercayai dihasilkan sindiket itu bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) terlebih dahulu.

“Hasilkan biskut dan kek untuk kegunaan sendiri dulu. Tujuannya bagi mengaburi mata pihak berkuasa, nanti dia (sindiket) buat dalam TikTok atau pun dijual dalam TikTok ke, Shopee ke.

“Dia kata ini makanan kuih bulan ke tapi itu semua dalam siasatan kita,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di sini hari ini.

Beliau berkata, sindiket yang menghasilkan biskut dan kek itu juga menghasilkan minyak ganja yang diisikan dalam botol plastik 500 milimeter.

Bagaimanapun ujarnya, kegiatan sindiket itu terbongkar selepas Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Johor Bahru Selatan melakukan serbuan selama tiga hari.

Menurutnya, lima serbuan dilakukan bermula kelmarin sehingga hari ini yang melibatkan tiga sindiket dan semuanya beroperasi di kondominium berpagar dan berpengawal.

“Lima serbuan itu dilakukan di kondominium di Majidee dan Danga Bay. Kita menahan empat lelaki warga tempatan, seorang wanita tempatan dan seorang wanita warganegara asing.

“Tangkapan tersebut termasuk dalang sindiket terbabit iaitu pasangan kekasih iaitu lelaki tempatan berusia 33 tahun dan wanita warga asing berusia 35 tahun,” ujarnya.

Katanya, semua tangkapan tersebut berusia 26 hingga 35 tahun dan hasil ujian saringan air kencing mendapati tiga lelaki tempatan dan wanita asing tersebut positif dadah jenis tetrahydrocannabinol.

Semakan rekod juga mendapati tiga suspek lelaki tempatan serta seorang wanita asing berkenaan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Kata Raub, dalam serbuan pertama pihaknya merampas sejumlah dadah bersama sebatang pokok ganja berusia dua bulan.

Serbuan kedua pula merampas biskut, kek, dan minyak ganja serta dadah manakala serbuan ketiga, keempat dan kelima melibatkan rampasan dadah.

Katanya, rampasan itu termasuk 25 kilogram (kg) ganja bernilai RM78,431, satu bekas plastik lut sinar disyaki mengandungi dadah jenis ganja (RM300), empat ketul kek ganja (RM150), 2.2 kg heroin (RM1,550), 500 milimeter minyak ganja (RM1,550) dan 0.50 gram ketamin (RM100).

Raub memberitahu, rampasan dadah tersebut bernilai RM102,150 dan boleh digunakan 28,252 penagih sekiranya terlepas ke pasaran.

Pihak polis katanya, menyita antaranya kereta jenis Perodua Myvi, Toyota Vios dan Toyoya Vellfire selain sebuah motosikal Yamaha 135LC, wang tunai pelbagai negara dan beberapa barang kemas.

Jelas beliau, jumlah keseluruhan nilai rampasan dadah dan sitaan bagi lima serbuan tersebut adalah RM326,150.

“Modus operandi kegiatan sendikit ini ialah menjadikan kondominium dan kenderaan sebagai tempat pembungkusan dan penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan. Mereka dipercayai sudah beroperasi sejak September 2024.

“Kita tidak menolak kemungkinan tiga sindiket ini mempunyai kaitan atau sindiket yang sama. Semua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 14 Oktober ini,” katanya.

Tambahya, siasatan dilakukan bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan boleh juga dikenakan sebatan.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here