Ketua Pengarah IKIM, Prof Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil

KUALA LUMPUR – Tuduhan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan 2024 adalah autoritarianisme adalah satu tuduhan yang tidak berasas kerana RUU ini tidak memberikan kekuasaan mutlak kepada Mufti.

Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Madya Datuk Dr. Mohamad Azam Mohamed Adil berkata, tujuan utama RUU Mufti Wilayah Persekutuan untuk memperkukuh institusi kefatwaan di Malaysia, khususnya dalam hal penerbitan fatwa dan hukum Islam.

Undang-undang ini dirancang untuk menyelaras prosedur penerbitan fatwa. Dengan adanya Undang-Undang Mufti yang jelas, fatwa yang dikeluarkan akan lebih konsisten dan dapat dipertanggungjawabkan.

Ia juga meningkatkan kredibiliti institusi kefatwaan. Undang-Undang Mufti ini diharapkan dapat meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti.

Selain itu, menjaga kesucian ajaran Islam. Melalui undang-undang ini diharapkan dapat mencegah penyebaran ajaran sesat dan menjaga kesucian ajaran Islam.

Justeru itu, undang-undang ini mengatur mekanisme semak dan imbang yang melibatkan pelbagai pihak yang berkepentingan sesuai dengan kepakaran masing-masing.

Dr. Mohamad Azam berkata, RUU Mufti Wilayah ini untuk memberikan panduan yang jelas dalam penerbitan fatwa, bukan untuk membatasi hak kebebasan yang sedia ada, justeru ia tidak akan mengikat jabatan fatwa di peringkat negeri.

“Secara umumnya jika negeri-negeri berkenaan menerima fatwa tersebut maka ia perlu dibawa di dalam muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri.

“Jika semua ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri bersetuju dengan fatwa tersebut, maka fatwa tersebut akan dipersembah kepada Raja bagi negeri-negeri berkenaan untuk memohon perkenan dan seterusnya diwartakan,” katanya dalam satu kenyataan ini.

Dalam hal ini, jika Parlimen meluluskan RUU Mufti Wilayah, Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan setiap negeri-negeri bagi mengikuti RUU ini kerana Islam ialah urusan negeri dan hal berkaitan Islam berada di bawah ruang lingkup kuasa dan bidang kuasa negeri di bawah naungan Raja-Raja bagi negeri-negeri.

Hal ini jelas disebut di bawah Perkara 3(2) Perlembagaan Persekutuan, antara lain, menyatakan dengan jelas sekali bahawa, “Di dalam tiap-tiap negeri, selain negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja, kedudukan Raja sebagai ketua agama Islam di negerinya mengikut cara dan setakat yang diakui dan ditetapkan oleh Perlembagaan negeri itu, dan tertakluk kepada Perlembagaan itu, segala hak, keistimewaan, prerogatif dan kuasa yang dinikmati olehnya sebagai ketua agama Islam, tidaklah tersentuh dan tercacat.”

Oleh kerana Wilayah Persekutuan itu bukan sebuah negeri, ia tidak mempunyai Dewan Undangan Negeri.

Segala undang-undang bagi Wilayah Persekutuan adalah dibuat oleh Parlimen dan Parlimen bertindak sebagai badan perundangan bagi Wilayah Persekutuan. Kuasa dan bidang kuasa Parlimen berkaitan Wilayah Persekutuan, termasuklah dalam hal gubalan undang-undang berkaitan Islam.

Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 3(5) menyatakan, antara lain, “…dan bagi maksud ini (iaitu bagi maksud Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam) Parlimen boleh menerusi undang-undang membuat peruntukan bagi mengawal selia hal ehwal agama Islam dan bagi menubuhkan suatu Majlis untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai perkara-perkara yang berhubungan dengan agama Islam”.

“Lantaran itu, adalah jelas dalam Perkara 3(5) Perlembagaan Persekutuan ini bahawa Kerajaan Persekutuan juga mempunyai peranan tertentu yang perlu dimainkan dalam hal berkaitan Islam bagi maksud Wilayah Persekutuan.

“Parlimen menggubal akta berkaitan Islam, dari segi perundangan dan pentadbirannya Islam di Wilayah Persekutuan adalah di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong,” jelas beliau.

Mohamad Azam menjelaskan, bagi maksud gubalan undang-undang, hal berkaitan Islam bagi tujuan Wilayah Persekutuan ada disenaraikan dalam Senarai Persekutuan, Jadual Kesembilan pada Seksyen 4(k), yang menyatakan, bahawa Parlimen mempunyai kuasa perundangan berkaitan “Undang-undang dan tatacara sivil dan jenayah dan pentadbiran keadilan, termasuk (k) Penentuan hukum syarak dan undang-undang diri yang lain bagi maksud undang-undang Persekutuan,”.

Dalam keadaan ini, bagi urusan berkaitan pentadbiran dan perundangan Islam, termasuk juga kemajuan dan pendidikan Islam dalam Wilayah Persekutuan adalah di bawah Yang di-Pertuan Agong.

Dalam pelaksanaan peranan dan tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong, Wilayah Persekutuan mempunyai susunan pentadbiran seumpama di negeri-negeri. Sebuah Majlis Agama Islam, seperti yang dinyatakan dalam Perkara 3(5), perlu diwujudkan bagi menasihati Yang di-Pertuan Agong.

“Dengan ini jelas bahawa kuasa fatwa dan undang-undang bukan terhenti di Mufti sahaja bahkan, ia perlu perkenan dan persetujuan Yang di-Pertuan Agong.

“Sementara itu, Mufti juga terikat dengan Akta 505 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 bahagian 3 iaitu

“Tiada pernyataan yang dibuat oleh Mufti boleh diambil sebagai fatwa melainkan jika dan sehingga pernyataan itu disiarkan dalam Warta menurut subseksyen (1).” Dari segi undang-undang, hanya fatwa yang diwartakan sahaja yang dianggap mengikat manakala pandangan atau kenyataan bertulis oleh mufti tidak mengikat dari segi undang-undang walaupun dibuat di mahkamah,” ujar beliau lagi.

Kesimpulannya, tambah beliau, RUU Mufti Wilayah dibuat bagi menjamin kredibiliti dan keabsahan pengeluaran fatwa yang hanya digunakan di Wilayah Persekutuan sahaja.

Andai ada negeri-negeri yang mempunyai Raja ingin melaksanakan peruntukan dalam RUU Mufti Wilayah ini, maka proses muzakarah di Jabatan Fatwa peringkat negeri perlu dilaksanakan terlebih dahulu dan perlu perkenan Raja bagi negeri tersebut kerana Raja negeri merupakan Ketua Agama bagi negeri tersebut.

Tegas beliau, RUU Mufti Wilayah merupakan satu langkah penting dalam memartabatkan institusi keagamaan dan memberikan garis panduan yang jelas dalam pelaksanaan hukum syariah di negara ini.

“Dalam menghadapi cabaran masa kini, adalah penting untuk kita memastikan bahawa peranan mufti dapat dilaksanakan dengan berkesan, berlandaskan kepada prinsip keadilan dan kesejahteraan masyarakat,” tambahnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here