Temubual bersama Pengarah NGO Karisma, Puan Nik Marina Husin pada program Podcast MG di Ibu Pejabat MalaysiaGazette, Cheras. Foto FAREEZ FADZIL, 07 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR- “Kecil pada kita tetapi besar maknanya kepada mereka”.

Demikian menurut Pengasas Karisma Humanitarian Outreach Mission (KHOM), Nik Marina Hussin berhubung sumbangan yang dihulurkan rakyat Malaysia kepada mangsa perang Gaza yang ditindas Israel sejak setahun lalu.

Tambahnya, rakyat Gaza sangat menghargai setiap sumbangan masyarakat luar kepada mereka meskipun sekecil sekilogram gandum atau kacang.

Setiap sumbangan itu menurut beliau, akan digunakan secara berjimat cermat, malah mereka panjangkan pula sedekah itu kepada jiran dan ahli keluarga yang sama-sama memerlukan.

Tambah Nik Marina, situasi sebegitu memang sukar untuk dibayangkan malah difahami oleh rakyat Malaysia yang tinggal di sebuah negara yang aman dan makmur.

“Kita memang tidak akan pernah mampu membayangkan apatah lagi memahami bagaimana mereka boleh hidup dan bertahan sebegitu.  Ini kerana kita hidup terlalu selesa, kita bebas memilih apa yang kita mahu dan tidak mahu.

“Tetapi tidak untuk mereka. Ada kalanya kami hanya mampu menyampaikan sumbangan yang pada kita adalah kecil seperti sekilogram gandum atau kekacang.

“Tetapi mereka menggunakannya secara sangat berhemat supaya bekalan tersebut mampu bertahan beberapa bulan malah boleh diberikan kepada jiran tetangga dan ahli keluarga yang lain.

“Inilah antara pengalaman yang sangat menyentuh hati kami apabila melihat mereka tidak pernah mementingkan diri sendiri meskipun berada di dalam kebuluran dan kesusahan yang tidak mampu kita bayangkan,” katanya ketika ditemubual menerusi podcast Unfiltered bertajuk Beyond the Rubbles: Gaza’s Tears and Resilience terbitan MalaysiaGazette.

Sehubungan itu beliau menasihatkan orang ramai untuk terus menyumbang kepada rakyat Gaza walaupun pada jumlah yang sedikit kerana setiap sumbangan memberi makna yang sangat besar di dalam membantu penduduk di wilayah bergolak itu untuk terus hidup.

Tambahan pula, selepas setahun peperangan berlaku, masyarakat semakin kurang memperkatakan mengenai perang di Gaza meskipun keadaan semakin meruncing malah telah merebak ke negara-negara berdekatan seperti Lubnan dan Iran.

Katanya, ia adalah sesuatu yang biasa apabila berita mengenai peperangan tersebut sudah dirasakan seperti satu kelaziman dan bukan lagi sesuatu yang mengejutkan.

Namun sikap sedemikian menyebabkan orang ramai semakin jauh dan mungkin akan terus melupakan penderitaan rakyat Gaza yang tidak henti-henti ditindas serta dizalimi rejim zionis.

“Pada kita cuma RM10 atau RM5 malah ada yang mengatakan saya malu untuk menderma RM10, terlalu sedikit. Jangan! Bukan jumlah yang menjadi ukuran. Percayalah setiap sumbangan anda membawa makna yang sangat besar, anda telah melakukan satu perkara yang sangat baik.

“Sebelum ini saya terjumpa satu hantaran di media sosial yang mana mereka panggil sebiji timun yang magis.

“Ada seorang penduduk Gaza yang berjaya mendapatkan sebiji timun yang diseludup masuk ke wilayah itu dan diberikan kepada keluarganya.

“Dia potong timun separuh daripada timun berkenaan dan makan suku daripadanya. Dia kemudiannya memberikan sebahagian lagi timun kepada jiran dan separuh lagi kepada ahli keluarganya.

“Mereka kemudiannya memotong timun tersebut kepada separuh dan memanjangkan sedekah tersebut sehingga berjaya disampaikan kepada sembilan keluarga. Lihatlah impak yang boleh kita lakukan jika terus menyumbang meskipun kecil,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau tetap menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dalam menghulurkan sumbangan bagi mengelakkan ditipu scammer.

Katanya, orang ramai boleh meminta laporan audit daripada badan bukan kerajaan (NGO) terbabit bagi memastikan mereka menguruskan sumbangan yang diterima dengan telus.

“Di KHOM kami menerima pelbagai pertanyaan mengenai perkara ini dan kebiasaannya kami meminta bakal penyumbang untuk melihat sendiri laporan audit di laman web kami namun sekiranya NGO yang ada berurusan itu tidak memuat naik penyata berkenaan, anda boleh meminta daripada mereka.

“Ini adalah salah satu langkah bagi mengelakkan penyumbang ditipu namun saya menasihatkan lakukanlah secara berhemah dan beradab.

“Jangan disebabkan segelintir NGO yang tidak bertanggung jawab, anda semua mempunyai sangkaan buruk kepada NGO-NGO lain yang bertungkus- lumus serta berkorban tenaga dan nyawa untuk membantu mangsa perang,” katanya lagi.

Untuk rekod, KHOM ditubuhkan 2014 untuk membantu mangsa banjir di Malaysia kemudiannya mengembangkan misi ke luar negara seperti Palestin dan Syria pada 2022. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here