Bekas Menteri Agama, Datuk Dr Zulkifli Al-Bakri

KUALA LUMPUR – Islam mengingatkan bahawa meskipun perceraian itu dibenarkan, ia adalah perkara yang paling dibenci oleh Allah.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, oleh itu bercerai sewajarnya menjadi pilihan terakhir setelah segala usaha untuk memperbaiki keadaan telah dilakukan.

Beliau yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan menegaskan, jika perpisahan itu tidak dapat dielak, Islam mengajar kita untuk melepaskan pasangan dengan cara yang baik dan penuh ihsan.

“Sikap ini penting agar tidak mencalarkan maruah mana-mana pihak serta memastikan hak-hak kedua-dua suami dan isteri tetap terjaga.

“Sebagai manusia, kita digalakkan untuk mengelakkan daripada mengungkit keaiban atau kekurangan pasangan, terutama selepas perpisahan. Islam mengajarkan untuk melihat kebaikan dan mengingati jasa pasangan sepanjang perkahwinan.

“Ini kerana ketika cinta masih ada, segala kekurangan tidak dihiraukan, namun ketika perasaan berubah, kekurangan yang kecil sekali pun menjadi hal yang diangkat-angkat.

“Justeru, setelah berpisah, berilah ruang untuk masing-masing memulakan kehidupan baru dengan cara yang lebih baik, tanpa menyimpan dendam,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya.

Zulkifli menambah, menjadi satu keutamaan juga buat ibu bapa untuk menjaga hati anak-anak yang mungkin menjadi mangsa kepada perpisahan tersebut.

Menurutnya, anak-anak yang tidak bersalah mempunyai hak untuk merasai kasih sayang kedua-dua ibu bapa dan wajib untuk menjaga kebajikan mereka, walaupun berlaku perceraian.

“Dalam menghadapi perpisahan, doa dan munajat kepada Allah adalah sandaran utama kita sebagai hamba-Nya. Berdoalah agar kita diberikan kekuatan, kesabaran, serta petunjuk dalam melalui ujian ini.

“Doa juga menjadi penghubung rohani antara kita dan tuhan menjadikan kita insan yang lebih kuat dalam menghadapi apa jua cabaran hidup,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan semua pihak yang berdepan konflik untuk sentiasa menjadi individu yang mendamaikan dan menasihati dengan kebaikan bukan sekadar menjaga kesolehan diri sendiri.

“Perkahwinan adalah satu institusi yang amat berharga dan ia memerlukan pengorbanan, keikhlasan, serta kesabaran dari kedua-dua belah pihak. Namun jika perceraian adalah jalan yang terbaik, lakukanlah dengan cara yang paling baik, menjaga maruah dan harga diri masing-masing.

“Kita sebagai manusia pasti tidak sempurna, tetapi usaha untuk menjadi insan yang lebih baik itu yang paling utama. Kepada Allah jua kita memohon,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here