Ahmad melawat mangsa banjir yang ditempatkan di PPS SK Seri Anom, Sanglang, Pontian, petang semalam

PONTIAN – Kajian sistem perparitan yang menyebabkan banjir di lebih 11 buah kampung dalam deerah ini terutama di kawasan Benut perlu segera dilakukan.

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, langkah itu perlu dilaksanakan bagi menangani masalah banjir sehingga menyebabkan penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

“Kajian sistem saliran yang dimaksudkan ialah melihat sejauh mana sistem tersebut mampu mengalirkan air dengan cepat sewaktu hujan lebat berlaku.

“Dalam masa yang sama, kita perlu melihat di mana aliran air tersebut tersangkut yang mengakibatkan terjadinya limpahan air ke rumah-rumah penduduk yang berhampiran dengan sungai dan tali air,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat mangsa-mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Anom, Sanglang di sini lewat petang semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Khairin-Nisa Ismail dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan.

Ahmad berkata, banjir di Benut berlaku pada Ahad lalu namun mangsa-mangsa banjir belum dibenarkan pulang kerana berlaku banjir termenung ketika ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, kampung-kampung yang terlibat rata-ratanya  terletak berhampiran sungai seperti Sungai Sanglang dan Sungai Pinggan.

Justeru, beliau akan meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pontian menyediakan laporan pasca banjir selepas ini mengenai sistem saliran di kampung-kampung yang terjejas banjir kali ini.

“Ini termasuk di Jalan Keliling, Kampung Parit Lancang Ayer Baloi di mana masih berlaku banjir di kawasan tersebut walaupun JPS baru sahaja selesai melakukan kerja-kerja penyelenggaran Sungai Sanglang.

“Begitu juga di Kampung Parit Yassin Darat yang turut mengalami banjir termenung apabila air banjir mengambil masa tiga hingga lima hari untuk surut sepenuhnya,” ujarnya.

Banjir di Pontian dilaporkan melibatkan Kampung Parit Jawa, Kampung Parit  Gantung, Kampung Parit Lancang, Parit Bujang, Kampung Sanglang dan Parit Maklumi.

Kampung lain yang terlibat termasuk Kampung Parit Yassin Darat, Parit Ramunia Darat, Parit Selangor Darat, Parit Bachok dan Kampung Sungai Pinggan.

Jumlah mangsa banjir di Pontian setakat pukul 8 pagi tadi, melibatkan 244 orang daripada 69 keluarga ditempatkan di tiga PPS iaitu di SK Seri Anom, SK Parit Markom dan Kompleks Muafakat Kampung Sungai Pinggan.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here