PUTRAJAYA – Komoditi durian yang mendapat sambutan luar biasa di negara China ketika ini wajar diuruskan di bawah fungsi sebuah lembaga khas.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, komoditi itu wajar diuruskan dengan peluasan fungsi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dengan menggabungkan komoditi nanas, kelapa dan durian.
“Hal ini penting supaya hasrat kita untuk mengurangkan defisit imbangan dagangan dapat dicapai melalui ketiga-tiga komoditi ini yang sememangnya mendapat permintaan yang begitu tinggi,” katanya.
Beliau berucap pada majlis perhimpunan bulanan warga Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di Wisma Tani di sini hari ini.
Sebelum ini, Mohamad melahirkan rasa bangga dan gembira apabila hampir 40 tan durian segar pertama Malaysia yang dieksport ke China habis terjual.
Terdahulu, Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad berkata, durian segar pertama negara itu dipasarkan pada 26 Ogos lepas di outlet peruncitan terpilih di enam wilayah negara itu habis terjual.
Durian segar yang dieskport itu daripada kualiti premium seperti Musang King, Black Thorn, D24 dan dipasarkan di enam wilayah di republik tersebut iaitu Beijing, Zhengzhou, Shanghai, Guangzhou, Shengzhen dan Nanning.
Malaysia mengeksport kali pertama durian segar ke China selepas dua bulan Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar dari Malaysia ke China dimeterai.
Kejayaan itu merupakan hasil usaha KPKM selama lapan tahun, bermula dari tahun 2016 yang mana sebelum ini hanya durian sejuk beku boleh dieksport ke negara itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad berkata, bagi komoditi nanas pula, Malaysia hanya mampu mengeksport 800 kontena setahun sedangkan permintaannya adalah 4,000 kontena setahun.
Sehubungan itu, ujar beliau, pihaknya akan berusaha mencari peluang-peluang baharu yang dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya bagi kebaikan negara dan rakyat pada masa hadapan.
“Selain itu, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan juga Bahagian Pembangunan Perniagaan dan Pelaburan (BDI) KPKM hendaklah bekerjasama rapat ke arah merealisasikan impian tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette