Mohd Puad Zarkashi
Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan boleh menang besar pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) sekiranya momentum kerjasama antara parti komponen Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) seperti ditunjukkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota berkekalan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kemenangan besar juga boleh dicapai Kerajaan Perpaduan sekiranya kerjasama BN-PH ketika ini terus diperbaiki.

Jelasnya, kunci utama kepada kemenangan besar itu adalah kepercayaan antara BN-PH dalam mendepani ujian menjelang PRU-16 apabila ia bakal melibatkan pembahagian kerusi, persafahaman jentera dan manifesto.

“Apatah lagi jika tempoh hingga bulan Disember 2027 tidak dipersia-siakan. Menteri dan kerajaan mesti buktikan kepada rakyat mereka berprestasi tinggi.

“Tidak ada formula karut dan jadi bahan jenaka.  Bagi UMNO, isu Najib (bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak) tetap isu utama,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Timbalan Setiausaha Agung DAP, Liew Chin Tong yang menyifatkan PRU-16 adalah medan sebenar bagi menguji Kerajaan Perpaduan dan usaha mesti dibuat untuk meyakinkan ahli-ahli DAP dan rakyat keseluruhannya untuk meyakini gabungan BN-PH itu.

Dalam pada itu, Mohd. Puad turut senada dengan Chin Tong yang mana PRU-16 merupakan ujian sebenar kepada Kerajaan Perpaduan, sama ada mampu kekal atau hanya sekadar bertahan sepenggal.

Pada PRK DUN Mahkota bulan lalu, calon BN yang mewakili Kerajaan Perpaduan, Syed Hussein Syed Abdullah menang dengan majoriti besar iaitu lebih 20,000 undi selepas turut berjaya menarik undi penyokong PH termasuk ahli-ahli DAP. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here