Kugiran Masdo lakar sejarah baharu apabila berjaya mewakili Malaysia dalam kategori Artis Asia Terbaik, Anugerah MTV EMA 2024 yang akan berlangsung di Manchester pada 11 November depan.

KUALA LUMPUR – Kumpulan pop popular Malaysia, Kugiran Masdo sekali lagi mencipta sejarah apabila berjaya mewakili Malaysia dalam kategori Artis Artis Asia Terbaik di Anugerah MTV EMA 2024 di Manchester, England pada 11 November ini.

Vokalis utamanya, Ali Sariah, 32, berkata, mereka tidak menyangka akan mencapai ke tahap itu dan pencalonan di anugerah berprestij itu sahaja sudah menjadi satu pencapaian yang bermakna.

“Kami baru sahaja menerima pengesahan tentang anugerah ini minggu lalu tetapi, kami tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi. 

“Pencalonan ini sahaja sudah menjadi satu perkara yang amat membanggakan. Jika menang, itu adalah satu bonus bagi Kugiran Masdo. Buat mana ini, belum ada kepastian sama ada kami akan menghadiri acara itu atau tidak,” katanya.

MTV EMA merupakan acara yang meraikan muzik dan budaya pop di peringkat global serta dihadiri oleh tokoh-tokoh besar dalam industri hiburan.

Beberapa artis lain yang turut dicalonkan dalam kategori yang sama termasuk Mahalini dari Indonesia, ILLIT (Korea Selatan), BINI (Filipina), dan Sakurazaka46 (Jepun). Pemenang akan ditentukan melalui undian yang telah dibuka di laman web rasmi.

Tahun ini, pencalonan didominasi oleh artis wanita, termasuk bintang pop Taylor Swift, yang dicalonkan dalam tujuh kategori seperti Artis Terbaik, Video Terbaik, dan Pop Terbaik.

Antara artis lain yang turut dicalonkan ialah Billie Eilish, Ariana Grande, Charlie XCX, Sabrina Carpenter, Ayra Starr, Beyonce, Kendrick Lamar, dan LISA. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast