Hari Ram didenda RM100 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan maki hamun polis di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Padah memaki hamun anggota polis, seorang pemandu lori didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret, Mohd Harith Mohd Mazlan membuat keputusan itu selepas tertuduh, S. Hari Ram, 37, mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa telah memaki hamun anggota polis dengan sengaja berkata-kata kesat di tepi jalan bersebelahan perumahan TNB di Jalan Baru, Perai di sini.

Kesalahan itu dilakukan jam 4.20 petang, pada 6 Oktober lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan- Kesalahan Kecil 1955 ( Akta 36) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Suhana Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, anggota polis telah mengarahkan tertuduh berhenti di tepi jalan selepas mendapati dia melanggar lampu isyarat merah.

Namun lelaki itu bertindak agresif dan mengeluarkan kata-kata hinaan serta provokasi selepas anggota berkenaan mengeluarkan saman. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast