Ahmad diiringi Kahirin-Nisa (dua kanan) menyerahkan bantuan semasa melawat mangsa banjir yang ditempatkan di PPS SK Seri Anom, Sanglang, Pontian, petang semalam

PONTIAN – Mangsa banjir wajib segera berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas pihak berkuasa mengeluarkan arahan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail berkata, keselamatan penduduk terbabit perlu menjadi keutamaan.

Jelasnya, mereka tidak perlu bimbang kerana bekalan makanan dan keperluan harian lengkap di pusat pemindahan sementara (PPS) mencukupi.

“Saya nasihatkan mangsa banjir sentiasa berhati-hati dan dengar nasihat daripada pihak berkuasa. Jika perlu berpindah ke PPS, lakukannya segera kerana keadaan hujan tidak menentu ketika ini.

“Penduduk yang tinggal di kawasan berisiko seperti berdekatan sungai perlu sentiasa bersiap sedia. Simpan dokumen penting di dalam bekas yang mudah di bawa ke PPS,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Anom, Sanglang di sini lewat petang semalam.

Turut hadir Ahli Parlimen Pontian yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan.

Seramai 148 orang daripada 45 keluarga masih berlindung di PPS SK Seri Anom sejak Ahad susulan banjir yang berlaku membabitkan Kampung Parit Jawa, Kampung Parit Gantung dan Kampung Parit Lancang sejak Ahad.

Menurut Khairin-Nisa, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah telah melaksanakan persediaan penuh bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir.

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah sentiasa bermesyuarat dan bersedia berdepan banjir. Setakat ini, hanya tiga daerah terjejas banjir iaitu Pontian, Batu Pahat dan Kluang.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan kerjasama agensi lain telah menguruskan operasi bagi memastikan kelancaran bantuan kepada mangsa banjir,” katanya.

Selasa lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, Monsun Timur Laut (MTL) dijangka bermula seawal minggu keempat bulan ini berbanding ramalan awal minggu pertama November.

Sehubungan itu, beliau berkata, kesiapsiagaan pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat dipertingkat khususnya dalam mendepani risiko banjir besar di kawasan dikenal pasti berisiko.

MTL membawa hujan lebat terutamanya kepada negeri-negeri di pantai timur semenanjung, barat Sarawak dan timur Sabah manakala Monsun Barat Daya secara relatifnya menunjukkan cuaca yang lebih kering.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here