Tiga individu direman di Mahkamah Majistret Perlis pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Tiga individu termasuk seorang pemilik syarikat penghantaran direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis kerana disyaki meminta rasuah kira-kira RM15,000 daripada seorang pemilik syarikat kecantikan sebagai dorongan bagi mengurangkan cukai import barangan kosmetik.

Perintah reman selama empat hari sehingga 12 Oktober 2024 terhadap ketiga-tiga suspek lelaki berusia lingkungan 30-an dan 50-an telah dikeluarkan Majistret Nurshahida Abdul Rahim selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kangar pagi tadi.

Menurut sumber, kesemua suspek telah ditahan antara kira-kira jam 8 hingga 10 malam tadi ketika hadir bagi memberi keterangan di Pejabat SPRM Perlis.

“Siasatan awal mendapati, suspek utama yang bertugas sebagai eksekutif operasi di sebuah syarikat penghantaran dipercayai meminta rasuah kira-kira RM15,000 daripada seorang pemilik sebuah syarikat kecantikan dengan alasan untuk diberikan kepada pegawai agensi penguat kuasa bagi mengurangkan kadar cukai import barangan kosmetik yang dibawa masuk melalui Pelabuhan Pulau Pinang.

“Manakala suspek kedua yang merupakan pemilik syarikat penghantaran tersebut dan suspek ketiga yang juga merupakan pekerja di syarikat tersebut turut ditahan kerana disyaki bersubahat dalam kes ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis, Mohd Nor Adha Ab Gani ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here