KUALA LUMPUR – Nasib seorang pelajar sekolah yang mahu menyambut majlis hari kelahiran salah seorang rakannya sambil berkelah di tepi pantai berakhir dengan tragedi.
Mangsa mati lemas selepas hilang semasa mandi manda di laut di Kuala Langat semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, mayat mangsa ditemui di Pulau Carey, Telok Panglima Garang tidak jauh dari lokasi asal kejadian pada awal pagi tadi.
Katanya, pada Selasa lepas, lebih kurang pukul 7.19 malam, pihaknya menerima panggilan melalui MERS 999 memaklumkan seorang lelaki telah hilang semasa mandi di laut berhampiran Bahagian 7, Pulau Carey,
“Siasatan awal telah dijalankan polis yang bergegas ke di tempat kejadian sebelum mendapati mangsa merupakan pelajar sekolah warga tempatan berumur 17 tahun.
“Semasa kejadian, remaja berkenaan bersama dengan rakan-rakannya telah pergi ke tempat kejadian untuk menyambut hari lahir salah seorang rakannya.
“Kemudian mangsa bersama tiga lagi rakannya telah mandi di pantai yang mana mangsa telah pergi berenang di kawasan alur air laut walaupun dilarang oleh rakan-rakan lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Ahmad Ridhwan, lebih kurang lima minit kemudian, rakan- rakannya bimbang setelah mendapati mangsa tiada dan disyaki telah dibawa arus.
Bagaimanapun, kata Ahmad Ridhwan, lebih kurang pukul 3.15 pagi tadi, mayat mangsa akhirnya telah dijumpai di kawasan sama tidak jauh dari lokasi asal kejadian.
“Siasatan telah dijalankan dan pemeriksaan fizikal terhadap mayat mangsa di tempat kejadian turut mendapati tiada sebarang unsur-unsur jenayah dikesan.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Banting untuk dibedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian,” ujarnya.
Polis telah mengklafikasikan kes terbabit sebagai kematian mengejut dan kes disiasat oleh pegawai penyiasat Sub Inspektor Mohamed Safaren Badron yang juga Ketua Balai Polis Telok Panglima Garang. – MalaysiaGazette