Pengarah Mandiri Borneo (Mandiri), Wong Kueng Hui.

KUALA LUMPUR – Mandiri Borneo mendakwa Kerajaan Persekutuan bakal membentangkan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung kewarganegaraan yang sangat regresif dan disifatkan tidak manusiawi.

Pengarah Mandiri Borneo (Mandiri), Wong Kueng Hui berkata, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan sendiri tidak bersetuju dengan pindaan tersebut.

“Ini kerana cadangan pindaan ini berpotensi untuk menjejaskan komuniti Orang Asal Sabah terutama mereka yang tinggal di kawasan luar bandar, kebanyakannya tidak mempunyai akses kepada kemudahan asas.

“Akibatnya, anak-anak mereka berisiko menjadi anak tanpa negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 11 Mac lalu, media melaporkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan perlu membuat pindaan kepada Jadual Kedua, Bahagian III, Seksyen 19(b) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Saifuddin, dengan adanya 3.5 juta warga asing, pindaan itu perlu dilakukan dan ketika ini kewarganegaraan diberikan kepada kanak-kanak terdampar menerusi penguatkuasaan undang-undang.

Menurut Kueng Hui, malangnya, Saifuddin tidak menghiraukan kenyataan Timbalan Ketua Menteri Sabah itu dan lebih membimbangkan salah satu cadangan pindaan itu membabitkan pemansuhan frasa ‘mastautin secara tetap’.

“Ini bermakna, anak-anak yang dilahirkan di Malaysia kepada ibu bapa pemastautin tetap mungkin tidak lagi secara automatik menjadi warganegara Malaysia.

“Situasi ini akan semakin memburukkan lagi keadaan bagi individu tanpa kerakyatan di Sabah,” katanya.

Komuniti Orang Asal Sabah, katanya, terutama mereka yang tinggal di kawasan luar bandar dan anak-anak hasil perkahwinan campur berisiko terkesan dengan pindaan berkenaan.

“Kami yakin rang undang-undang ini tidak akan membawa sebarang manfaat, malah bakal menghukum anak-anak Malaysia yang tidak berdosa.

“Saya mendesak kepada semua ahli Parlimen khususnya dari Sabah dan Sarawak serta seluruh rakyat Malaysia terutama rakyat Sabah bersama menolak pindaan kejam dan tidak berperikemanusian ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast