KUALA LUMPUR – Program sosial sinergi melalui Sistem MySynergy berjaya menyalurkan lebih 32,000 prospek sejak awal pelaksanaannya sejak 2019 hingga September lalu.
Pengerusi Lembaga Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Subahan Kamal berkata, setakat ini, lebih 350 agensi yang terdiri daripada agensi kerajaan, bukan kerajaan, swasta dan wakil rakyat telah memberikan komitmen di dalam program itu.
“Kongres sosial sinergi tahun ini menyaksikan perkhidmatan kaunter Social Energy One Stop Centre yang dapat memudahkan proses mendapatkan bantuan sewajarnya merentasi agensi. Ketika ini, kami merupakan perintis bagi kaunter itu.
“Selain itu, kami juga berharap supaya inisiatif perkhidmatan kaunter ini diperluaskan kepada rakan sinergi lain,” katanya ketika berucap dalam Kongres Sosial Sinergi 2024 di sini hari ini.
Menurut Subahan, program itu merupakan inisiatif PERKESO untuk mengatasi isu pertindihan dan keciciran bantuan yang dialami golongan sasar di Malaysia sejak tahun 2017.
“Kami beriltizam untuk terus menyediakan jaringan keselamatan sosial yang sistematik, komprehensif, holistik dan end-to-end solution melalui kolaborasi pelbagai rakan strategik di negara ini.
“Ini juga bukanlah sekadar satu elemen namun adalah tunjang utama dalam memartabatkan kesejahteraan rakyat di negara ini. Ia merupakan satu platform terbaik untuk kita berkolaborasi mengelakkan sebarang keciciran dalam kalangan masyarakat.
“PERKESO percaya program ini juga adalah formula terbaik dalam mengatasi permasalahan ekonomi yang melanda rakyat Malaysia terutamanya dalam situasi global yang tidak menentu,” tambahnya. – MalaysiaGazette