Nurul Syahira (depan) dan Nurul Natasha menunjukkan rumah sewanya yang hangus terbakar di Kampung Dalam, Pontian, hari ini

PONTIAN – Gara-gara terlupa menutup api gas di dapur semasa memasak air, sebuah keluarga di Kampung Dalam di sini tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka terbakar hari ini.

Dalam kejadian pukul 2.15 petang itu, Nurul Syahira Nasrudin, 27, yang menyewa sebuah rumah dua pintu di kampung berkenaan, sedang memasak air.

Ruma sewa dua pintu tersebut didiami keluarganya dan satu lagi keluarga tuan rumah berkenaan.

Dia bagaimanapun lupa untuk menutupnya sehingga air yang dimasak menjadi kering dan tidak menyedari kejadian tersebut.

Semasa kejadian dia berada dalam rumah bersama-sama anaknya, Muhamad Qais Thaqef, 7, dan anak saudaranya Nurul Natasha Abdullah, 18.

Manakala suami Nurul Syahira,  Muhamad Taufik Shamsudin, 30, sedang berkerja di Pasar Pontian.

“Anak saudara beritahu nampak api di bahagian dapur rumah. Saya ingat orang sedang membakar sampah tetapi melihat api di bahagian dapur.

“Saya menjerit meminta tolong dengan pemilik rumah yang berada di sebelah rumahnya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Dia berkata, dalam keadaan kelam kabut itu dia hanya sempat menyelamatkan sebuah motosikal yang berada depan rumah sementara semua yang lain hangus terbakar.

Nurul Syahira dan keluarganya kini menumpang sementara di rumah kakak beliau tidak jauh dari kediamannya sebelum mencari rumah sewa selepas ini.

Sementara itu, pemilik rumah, Zainal Abidin Salleh, 60, berkata, ketika kejadian, dia berada dalam rumah dan terdengar Nurul Syahira menjerit meminta tolong mengatakan rumah terbakar.

Bagaimanapun, dia tidak sempat berbuat apa-apa dan rumah dua pintu separuh papan peninggalan keluarganya yang berusia 90 tahun itu tidak dapat diselamatkan.

Ini kerana api marak dengan cepat membakar keseluruhannya.

“Tiada apa yang dapat diselamatkan, saya seperti penyewa juga tinggal sehelai sepinggang, mujur semua dapat menyelamatkan diri dengan cepat keluar dari rumah tersebut,” ujar bapa tunggal ini.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian, Penguasa Bomba Kanan I Mohd Zamry Sukarseh berkata, seramai 27 anggota dari tiga BBP dengan enam jentera dikejarkan ke tempat kejadian.

“Semasa pihak bomba tiba didapati rumah berkenaan sudah musnah 90 peratus. Kebakaran dapat dikawal dalam masa kira-kira 20 minit.

“Tiada mangsa yang cedera dan operasi tamat pada pukul 3.14 petang,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast