KUANTAN – Dewan Pemuda Pas Pahang tuntut penjelasan daripada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan agensi berkaitan mengenai dakwaan aktiviti penjarahan Hutan Sungai Lembing.
Dalam kenyataannya, Ketua penerangannya, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, ia tidak sepatutnya berlaku kerana Sungai Lembing merupakan salah satu produk pelancongan negeri yang penuh dengan nilai sejarah.
Menurutnya, jika aktviti itu berterusan, dibimbangi pelbagai musibah boleh menimpa penduduk di kawasan tersebut, termasuk kemungkinan kejadian bah.
“Saban tahun apabila musim terkujuh tiba, kita lihat bagaimana lumpuhnya Pekan Sungai Lembing dilanda banjir yang menelan kos ribuan mungkin jutaan yang ditanggung penduduk disitu.
“Kami Dewan Pemuda Pas Pahang terkejut dan kesal dengan apa yang berlaku di Hutan Sungai Lembing seperti yang didedahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Lembing baru-baru ini,” katanya.
Justeru, katanya, tindakan segera perlu diambil agar bencana yang tidak diingini dapat dielak termasuk di kawasan-kawasan tadahan air lain di Negeri Pahang ini.
Semalam, ADUN Sungai Lembing, Mohamad Ayub Mat Ashri kawasan sekitar Hutan Sungai Lembing dekat sini didakwa semakin ‘botak’ ekoran aktiviti penghapusan hutan sejak bulan lalu.
Beliau seterusnya mempersoal sama ada pembersihan hutan dalam skala besar itu dilakukan dengan kajian impak alam sekitar dan sosial. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: