Zulkarnain Mahdar

KUALA LUMPUR – Suasana harmoni dalam kalangan komponen Kerajaan Perpaduan di Sabah boleh dicapai sekiranya pelantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) di negeri itu ditarik balik serta-merta.

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, tiada gunanya Presiden UMNO melarang pimpinannya melakukan provokasi terhadap Gabungan Rakyat Sabah (GRS) jika beliau sendiri mahu meneruskan hasratnya itu.

“Semua pemimpin UMNO termasuk Datuk Seri Bung Moktar Radin perlu menjadikan nasihat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai satu iktibar dengan menghentikan provokasi terhadap kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor.

“Tindakan Bung Mokhtar dan penyokongnya khususnya Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir telah mengganggu kelancaran pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah.

“Nasihat Ahmad Zahid tidak berguna jika beliau sendiri tidak menunjukkan contoh yang baik termasuk menarik balik pelantikan JPKKP di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di seluruh Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, media melaporkan, Ahmad Zahid mengingatkan pimpinan UMNO supaya tidak ‘mengusik’ rakan-rakan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan sehingga menimbulkan masalah.

Ahmad Zahid berkata, sebarang kenyataan selain dibuat Presiden UMNO atau ketua parti, maka pendirian itu adalah berbentuk peribadi.

Dalam pada itu, Zulkarnain juga berkata, tindakan Ahmad Zahid yang masih berkeras mahu meneruskan pelantikan JPKKP  jelas melanggar peruntukan undang-undang negeri.

“Sebelum ini, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah telah meluluskan pindaan kepada Ordinan Pentadbiran Luar Bandar Sabah.

“Pindaan itu kini memberi kuasa dan autonomi kepada Kerajaan Sabah untuk melantik dan mengurus pentadbiran jawatankuasa kampung seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Sabah.

“Ini bermakna penubuhan JPKKP di Sabah KKDW adalah jelas bertentangan dengan undang-undang,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, Pakatan Harapan (PH) Sabah termasuk wakil rakyat GRS turut senada membantah penubuhan JPKKP, sebaliknya Bung berkeras malahan telah menyerahkan surat pelantikan kepada wakilnya di setiap daerah di Sabah.

“Tindakan ini jelas akan mengundang ketidakstabilan politik di peringkat akar umbi, malahan dikhuatiri boleh menyebabkan pergaduhan kerana sudah pasti akan berlaku pertindihan tugas di peringkat kampung,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here