Tam Spider

KUALA LUMPUR – Tiga kertas siasatan telah dibuka berhubung kes buli termasuk melibatkan anak penyanyi kumpulan Spider, Tam dan pelakon, Khir Rahman.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya telah menerima sebanyak 12 laporan dalam tempoh yang berbeza menunjukkan kes itu bukan kejadian tunggal.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa

“Sebahagian laporan dibuat oleh pelajar yang menjadi mangsa dan sebahagiannya adalah daripada ibu bapa mangsa lain.

“Siasatan awal mendapati kesemua mangsa terdiri daripada pelajar yang berusia 14 hingga 16 tahun dan pembuli terdiri daripada pelajar berusia 17 tahun,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Cheras di sini hari ini.

Menurut Rusdi, dua kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dan sudah dikembalikan untuk dikemas kini manakala satu lagi masih diproses kerana pelajar yang terlibat sedang menjalani ujian percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). 

“Pihak sekolah minta tangguh proses siasatan dan kita pun tak nak mengganggu (peperiksaan) mereka,” jelasnya.

Rusdi juga menambah, siasatan turut mendapati seorang warden asrama dan keterangannya sudah diambil polis.

Katanya, polis akan mengambil keterangan enam pelajar yang didakwa membuli mangsa pula pada 13 dan 14 Oktober ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Sebelum ini, media melaporkan, Rustam Mustafah atau lebih dikenali Tam Spider mendakwa anak lelakinya yang berusia 14 tahun telah menjadi mangsa buli.

Akibat daripada insiden itu, mangsa mengalami kecederan di telinga serta lebam pada tangan dan kaki.

Khir Rahman

Selain Tam, beberapa ibu bapa dan pelakon, Khir Rahman turut tampil mendedahkan perkara sama dan mendesak tindakan segera diambil terhadap pembuli tersebut. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here