MOHAMAD Sabu ketika menghadiri majlis perhimpunan bulanan warga Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di Wisma Tani, Putrajaya hari ini.

KUALA LUMPUR – Kesemua tujuh agensi penguatkuasaan di bawah sektor agromakanan melibatkan seramai 2,030 pegawai penguat kuasa akan digabungkan di bawah satu agensi baharu yang akan ditubuhkan kelak.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada reformasi industri pertanian ke arah memastikan kemampanan sektor agromakanan pada masa depan.

Antara agensi yang terlibat dalam penggabungan itu adalah seperti Kawalselia Padi Beras (KPB); Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysi (Maqis); Jabatan Pertanian (DOA) dan Jabatan Perikanan (DOF).

Turut terlibat, kata beliau, adalah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

“KPKM adalah kementerian yang pertama menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melaksanakan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam melalui penggabungan penguatkuasa di bawah KPKM ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis perhimpunan bulanan warga Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di Wisma Tani, di sini hari ini.

Menurut Mohamad, cadangan penggabungan agensi penguatkuasaan itu dapat mengoptimumkan usaha pihaknya membanteras aktiviti penyeludupan dan ketirisan yang berlaku dalam sektor agromakanan.

Jelas beliau, ia juga dapat memastikan aktiviti penguatkuasaan dapat diselaraskan memandangkan semua agensi itu ketika ini terikat di bawah 14 akta penguatkuasaan berbeza.

“Ketika ini kita dalam proses untuk mendapatkan kelulusan terhadap cadangan ini dan akan bawa kepada perhatian Perdana Menteri dalam mesyuarat pada 1 November ini,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast