Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris menunjukkan gambar barang rampasan curi buah sawit pada sidang media berkaitan kejayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 10 OKTOBER 2024.

IPOH – Polis berjaya menumpaskan kegiatan mencuri barangan berharga dalam kereta di Daerah Manjung yang didalangi tiga individu ‘Geng Dinesh’ pada 27 September lalu.

Kesemua mereka termasuk seorang wanita yang berusia antara 24 hingga 26 tahun dari Johor itu dipercayai aktif melakukan kegiatan berkenaan sejak sebulan.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, pihaknya berjaya menahan tiga suspek selepas menerima laporan kecurian daripada mangsa di Taman Raja Muda Musa dekat Sitiawan, hari sama.

mencuri barangan berharga kereta Geng Dinesh polis azizi
Gambar rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kes curi dalam kereta di Manjung pada sidang media kejayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 10 OKTOBER 2024.

Katanya, modus operandi kumpulan itu menyasarkan kediaman penduduk dengan mencuri pelbagai barangan berharga dalam kenderaan yang tidak berkunci secara rawak.

“Mangsa menyedari barangan miliknya di dalam kereta jenis Proton Persona hilang semasa hendak pergi bekerja pada hari berkenaan sekitar jam 8.30 pagi.

“Barangan yang hilang adalah beg tangan mengandungi seutas rantai emas, gelang emas, satu tablet dan wang tunai RM500 dengan kerugian keseluruhan RM11,000,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, pada Khamis.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris menunjukkan barang rampasan tangkapan kes curi dalam kereta di Manjung pada sidang media kejayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 10 OKTOBER 2024.

Tambah Azizi, hasil siasatan lanjut mendapati suspek melakukan perbuatan mencuri itu dalam tempoh kurang tiga minit pada sekitar jam 1.45 pagi sebelum melarikan diri.

Ujar beliau lagi, semakan lanjut juga mendapati terdapat sebanyak 15 kes disyaki penglibatan suspek yang sama semua pengadu telah dipanggil untuk pengecaman barang rampasan kes.

“Sebanyak 15 kertas siasatan telah dilengkapkan dan dihantar kepada timbalan pendakwa raya negeri dan ketiga-tiga suspek telah mendapat 11 arahan pertuduhan.

“Arahan pertuduhan telah diterima mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Seksyen 411, Seksyen 414, Seksyen 427 dan Seksyen 447 Kanun sama,” jelasnya.

mencuri barangan berharga kereta Geng Dinesh polis azizi
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris menunjukkan gambar barang rampasan curi buah sawit pada sidang media berkaitan kejayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 10 OKTOBER 2024.

Dalam perkembangan lain, Azizi berkata, polis berjaya mematahkan sindiket kecurian buah sawit di daerah sama, dengan menahan dua lelaki pada Isnin dan Selasa lalu.

Kata beliau, penahanan itu turut membawa kepada rampasan satu karung guni yang mengandungi tiga tandan buah sawit serta lesen perniagaan rem sawit.

“Kertas siasatan telah berjaya dilengkapkan dan ia dirujuk timbalan pendakwa raya untuk arahan pertuduhan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here