Empat buah kilang yang terbakar di Kawasan Perindustrian SILC, Iskandar Puteri, hari ini tidak menyebabkan pencemaran

ISKANDAR PUTERI – Kebakaran empat kilang di kawasan Perindustrian SILC, dekat sini, tidak menyebabkan berlakunya pencemaran udara.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Ling Tian Soon menafikan dakwaan tular dalam media sosial bahawa kejadian itu menyebabkan pencemaran.

Jelasnya, pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah membuat siasatan, penilaian dan melakukan ujian kualiti udara di kawasan kejadian.

“Ujian yang dijalankan di tapak kebakaran serta di kawasan berdekatan di Taman Bukit Indah, di sini kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian.

“Tetapi tidak menunjukkan sebarang pencemaran kimia di udara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 11.30 pagi, empat kilang terbabit terbakar hingga menyebabkan tiga lelaki warganegara Bangladesh melecur 30 peratus.

Susulan itu tular dakwaan kebakaran tersebut mengakibatkan pencemaran udara.

Mengulas lanjut, Tian Soon berkata, pegawai yang terbabit masih meneruskan pemantauan di kawasan kejadian dan sekitarnya untuk memastikan kualiti udara serta air selamat.

“Disebabkan kilang-kilang tersebut menyimpan bahan bahan untuk kegunaan industri, ramai orang awam bimbang kemungkinan berlakunya pencemaran udara akibat bahan kimia serta khuatir air hujan yang berwarna hitam akan menjadikan kawasan sekitar menjadi lebih berbahaya,” katanya.

Juateru beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan khabar angin dalam media sosial dan tidak mencetuskan kebimbangan awam.

“Sentiasa dapatkan maklumat yang tepat dan sahih daripada pihak berkuasa,” katanya.

Menurutnya, kebakaran sudah dapat dikawal sepenuhnya pada pukul 3.15 petang.

“Walaupun begitu, masih terdapat sebuah pasukan bomba masih berada di tempat kejadian untuk memastikan tiada api kecil yang berbahaya tertinggal,” ujarnya.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here