Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris pada sidang media berkaitan kejayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tangkapan kes curi dalam kereta, simbah cat serta curi buah sawit di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 10 OKTOBER 2024.

IPOH – Seorang pekerja kontrak warga Bangladesh ditemukan maut selepas dipercayai dibunuh rakan senegara di kawasan sekitar sebuah rumah kongsi di Taman Lagenda Fasa 3, Teluk Intan pada Khamis.

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata, lelaki berusia 27 tahun itu ditemukan dalam keadaan terlentang dalam semak di belakang rumah kongsi berkenaan sebelum polis menerima laporan sekitar jam 5 pagi.

Katanya, mangsa ditemukan dalam keadaan berlumuran darah pada bahagian dada dengan kesan kecederaan di leher dipercayai akibat penggunaan senjata yang tidak dikenal pasti.

“Mangsa dipercayai tiada di rumah kongsi yang dihuni bersama tiga rakannya sekitar jam 8.30 malam tadi.

“Berdasarkan keterangan, selepas makan malam, mangsa disedari hilang apabila rakannya mahu mengajak mangsa untuk sembahyang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, pada Khamis.

Tambah Azizi, justeru pihak polis menahan tiga lelaki warga Bangladesh berusia 32 hingga 39 tahun yang mendiami rumah kongsi sama untuk siasatan lanjut.

Ujarnya lagi, polis membuka kertas siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Setakat ini kita merampas tiga telefon bimbit milik suspek dan usaha mengesan senjata yang disyaki digunakan dalam kejadian itu.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk dibedah siasat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here