PELABUHAN KLANG – Berselindung di sebalik rumah kedai usang, itu antara modus operandi yang digunakan ‘bapa ayam’ untuk mengaburi mata pihak berkuasa bagi menjalankan aktiviti persundalan dipercayai beroperasi sejak dua tahun lalu.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jafri Embok Taha berkata, pusat persundalan yang terletak dekat kawasan perniagaan, di sini, dilanggani warga asing dengan bayaran antara RM50 hingga RM100.
“Saya tanya kenapa harga berbeza, ia bergantung kepada permintaan.
“Kalau ramai (pelanggan) boleh dapat harga tinggi, tapi apabila pelanggan kurang itu yang berlaku tawar menawar,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai operasi berkenaan, di sini, hari ini.
Susulan itu, serbuan dilakukan pihaknya ke atas premis tersebut menahan 58 warga asing serta dua warga tempatan kerana melanggar Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).
“JIM bertindak hari ini selepas melakukan risikan hampir tiga bulan. Dalam serbuan itu, seramai 60 orang telah diperiksa. Kesemua mereka ditahan dan akan ditempatkan di Depoh Tahanan Imigresen untuk siasatan serta tindakan lanjut,” katanya.
“Antaranya yang ditahan melibatkan 16 lelaki warga Bangladesh, seorang lelaki warga Pakistan, tiga lelaki dan 29 perempuan warga Indonesia, tujuh lelaki dan seorang perempuan warga India serta seorang tanpa negara,” katanya.
Menurut Jafri Embok, kesemua 58 warga asing yang ditahan dalam operasi hampir dua jam itu berusia antara 24 hingga 60 tahun.
“Antara kesalahan yang dikenalpasti JIM ialah tiada dokumen pengenalan diri dan tinggal lebih masa,” katanya.
Selain itu katanya, ketika serbuan dilakukan, pihaknya mendapati bangunan di sekitar kawasan itu telah dipecahkan kepada beberapa bilik, dipercayai untuk disewakan antara RM500 hingga RM600 sebulan.
“Bilik-bilik inilah yang dijadikan tempat mereka untuk melakukan aktiviti tidak bermoral ini,” katanya. – MalaysiaGazette