KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar Kerajaan Pusat melalui Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Ekonomi mempertimbangkan semula pembinaan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di lebuh raya Lingkaran Tengah Utama (LTU).
Titah baginda, keputusan Kerajaan Pusat untuk tidak melaksanakan salah satu komponen penting dalam projek lebuh raya itu akan menyukarkan usaha penyelesaian beberapa isu berkaitan antaranya keperluan asas orang ramai yang menggunakan lebuh raya tersebut.
Sultan Pahang menegaskan, keperluan R&R di lebuh raya tersebut akan dapat memberi kemudahan dan keselesaan kepada pengguna sekali gus mengelak masalah pembuangan sampah serta kekotoran di pinggir jalan akibat ketiadaan kemudahan tandas.
“Baginda berharap agar pihak berkaitan dapat memberi pertimbangan sewajarnya untuk meneruskan pembinaan infrastruktur tersebut bagi kepentingan orang ramai terutamanya ketika musim perayaan dan cuti sekolah,” titahnya menerusi kenyataan hari ini.
Sebelum ini, kerajaan negeri telah membuat permohonan agar R&R dapat dibina di LTU (dalam daerah Bentong) bagi memberi kemudahan kepada pengguna namun ia tidak diteruskan dengan alasan kos pembinaan R&R mencecah dua kali ganda daripada anggaran kos asal walaupun ia berada dalam skop projek dan hanya penyediaan platform dan infra sahaja yang dilaksanakan. – MalaysiaGazette