CYBERJAYA – Telekom Research & Development Sdn Bhd (TM R&D) – anak sebuah anak syarikat MMU dan cabang inovasi Kumpulan TM berjaya merangkul Anugerah Transformasi Digital Terbaik Tahun Ini (Sektor Swasta/NGO) di WITSA Global Innovation and Tech Excellence Awards 2024.
Anugerah itu kerana membangunkan solusi yang dikenali sebagai Mobile Intelligent Network Diagnostic System (MINDS).
Berlangsung di Yerevan, Armenia, anugerah itu diberikan sebagai pengiktirafan kepada kejayaan syarikat dalam membangunkan penyelesaian inovatif yang mampu mengintegrasikan sistem-sistem berbeza yang menggunakan teknologi legasi.
MINDS adalah solusi tempatan yang membantu penyedia perkhidmatan mudah alih mengurus aduan pelanggan dengan lebih cekap dengan menghubungkan semua maklumat tentang penggunaan dan pengalaman rangkaian pelanggan ke dalam satu platform berpusat.
“Ini memberikan gambaran menyeluruh tentang perkhidmatan dan membolehkan penyedia menangani masalah dengan tepat sebelum pelanggan menyedarinya. Dengan menyelesaikan masalah berdasarkan data rangkaian masa nyata, MINDS mengurangkan jumlah aduan dan mempercepatkan penyelesaian masalah.
“Penyelesaian ini juga menyediakan maklumat bagi membantu syarikat membuat keputusan yang lebih berinformasi untuk memperbaiki rangkaian mudah alih mereka.
Maklumat ini menjadi panduan untuk membuat keputusan yang praktikal dalam perniagaan, membawa kepada prestasi rangkaian yang lebih lancar dan kepuasan pelanggan yang lebih baik,” kata satu kenyataan.
MINDS bukan sahaja mencegah timbulnya masalah tetapi juga menambah kualiti perkhidmatan mudah alih secara keseluruhan serta meningkatkan kepuasan pelanggan dan kecekapan operasi.
Mengulas mengenai pencapaian ini, Ketua Pegawai Eksekutif TM R&D, Dr Sharlene Thiarajah berbesar hati menerima anugerah yang mencerminkan komitmen teguh pihaknya terhadap inovasi dalam memacu dan mempercepatkan ekonomi digital.
“Pengiktirafan global ini mengukuhkan kepercayaan kami terhadap kuasa transformatif teknologi, bukan sahaja dalam membentuk masa depan landskap digital tetapi juga menyelesaikan cabaran sebenar dalam mengurus dan meningkatkan prestasi rangkaian mudah alih.
“Dengan menggabungkan pandangan pelanggan dan membolehkan tindakan masa nyata yang proaktif, MINDS menetapkan penanda aras baharu untuk kecekapan operasi dan kecemerlangan perkhidmatan,” katanya.
Pengerusi World Information Technology and Services Alliance (WITSA), Datuk Dr. Sean Seah juga memuji pencapaian TM R&D dan berbesar hati mengiktiraf TM R&D dengan Anugerah Transformasi Digital Terbaik Tahunan di ‘WITSA Global Innovation and Tech Excellence Awards 2024’.
Pendekatan inovatif TM R&D dalam mengintegrasikan sistem yang berbeza dan memodenkan teknologi legasi adalah contoh kuasa transformatif penyelesaian digital dalam meningkatkan kecekapan perniagaan dan memacu pertumbuhan, katanya.
WITSA adalah konsortium terkemuka bagi persatuan industri ICT dari lebih 80 negara dan ekonomi. WITSA Global Innovation and Tech Excellence Awards 2024 meraikan pencapaian luar biasa dalam penggunaan dan aplikasi teknologi merentasi pelbagai kategori. – MalaysiaGazette