PUTRAJAYA – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengesahkan 10 kontena dengan pelbagai bentuk bantuan telah memasuki Gaza menerusi Rafah.

Ketua Misi Bantuan Kecemasan 100 Kontena Malaysia ke Gaza, Dr Ahmad Sani Abdul Alim Araby berkata, kontena itu memasuki Rafah secara berperingkat, yang mana lapan daripadanya masuk ke Gaza pada Jumaat lalu.

“Sepuluh kontena itu melepasi Sinai untuk tempoh yang sangat mendebarkan iaitu selepas kita bertolak dari gudang MAPIM di Kaherah hampir tiga bulan lamanya kita menunggu dan berjaya masuk ke Gaza.

“Daripada jumlah yang dibenarkan pihak yang memegang kawasan di Rafah kita menerima laporan, gambar dan video di mana 10 kontena yang dilepaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya masuk ke dalam Gaza. Ia melalui Rafah Mesir dan Rafah di Gaza masuk ke Karem Shalom yang dipegang oleh rejim zionis.

“Ia untuk mereka melihat barang-barang tersebut sama ada boleh masuk atau tidak,” katanya dalam sidang media selepas pelepasan Konvoi Misi Jelajah Peduli Ummah: Sejahtera Insan Al-Falah anjuran Majlis Perundingan Islam Malaysia (MAPIM) dengan kerjasama YWM, JAKIM, MAIPWP, ZUSS Coffee dan Cinta Gaza Malaysia, di sini, hari ini

Pelepasan disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar.

Jelas Ahmad Sani, 10 kontena itu merangkumi dua kontena yang telah pun masuk ke Gaza pada penghujung September lalu.

Baki 90 kontena lagi, jelas Ahmad Sani, akan dibawa memasuki Gaza menerusi pintu masuk di Jordan.

“Yang 90 lagi kontena masuk melalui Jordan dan utara, yang kita tadi tu belah bahagian bawah dan yang daripada Jordan, Insya-Allah melalui jalan darat

“Kita beli barang di Jordan dan akan masuk melalui utara di kawasan Bek Hanun. Ini adalah kawasan yang sedang kita kata panas, dan kawasan yang sangat-sangat susah untuk masuk, dan sekarang ini kita sudah ada rekod dengan beberapa sahabat Jordan,” katanya.

Sementara itu, MAPIM turut menghantar lebih 20 aset bantuan kecemasan bencana banjir di lapan negeri.

Bantuan itu terdiri daripada kenderaan bantuan 4×4, peralatan logistik seperti bot, klinik bergerak, dapur bergerak, alatan membersih rumah dan sukarelawan terlatih untuk melancarkan operasi jelajah tersebut.

Jelas Ahmad Sani, aset-aset itu adalah sebahagian daripada usaha memastikan segala bantuan dapat disampaikan dengan cepat dan berkesan, terutamanya di kawasan-kawasan yang sukar diakses semasa dan selepas berlakunya musibah banjir.

“Bantuan ini akan dapat meringankan beban jadi 100,000 keluarga itu melibatkan sasaran yang besar dan melibatkan peruntukan RM5 juta dan kita akan bergerak dengan fasa satu dengan 10,000 kotak bantuan.

“Sebanyak 10,000 kotak bantuan akan bergerak dari Oktober hingga November depan.

“Fasa kedua akan bermula Disember hingga Januari tahun depan,” katanya.

MAPIM turut menggerakkan lebih 3,000 sukarelawan dengan lebih 784 MAPIM Rangers yang kini berada di kawasan berpotensi banjir. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here