Pekerja kedai vape, Mohd Noor Shahzuan menyusun Vape Pod pakai buang di premisnya ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette sempena Belanjawan 2023 di Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 03 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Gabungan 24 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan organisasi kesihatan dan masyarakat melahirkan sokongan penuh terhadap penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang bermula 1 Oktober lalu.

Dalam kenyataan bersama, gabungan NGO itu berkata, penguatkuasaan akta tersebut akan membantu menghalang akses kanak-kanak dan remaja kepada produk tembakau dan rokok elektronik (vape), seterusnya melindungi mereka daripada risiko kesihatan jangka panjang.

Selain itu, tambahnya, akta itu juga dapat menghalang pemasaran dan penjualan produk vape yang direka untuk menarik minat golongan muda melalui perisa manis dan reka bentuk yang menarik.

“Kawalan yang lebih ketat ke atas semua produk tembakau akan menyumbang kepada pengurangan kadar merokok dalam kalangan rakyat Malaysia, sekali gus meningkatkan tahap kesihatan awam secara keseluruhan.

“Tindakan ini juga selaras dengan komitmen Malaysia terhadap Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO FCTC), menunjukkan dedikasi negara dalam menangani isu tembakau di peringkat global,” katanya menerusi kenyataan itu.

Sehubungan itu, gabungan NGO berkenaan menggesa semua pihak berkepentingan bekerjasama  dalam memastikan penguatkuasaan akta tersebut berjalan lancar dan berkesan.

Dalam masa sama, tambahnya, masyarakat umum juga perlu menyokong inisiatif itu demi kesihatan dan kesejahteraan generasi kini dan akan datang.

Selain itu, ujarnya, kerajaan khususnya agensi penguat kuasa berkaitan perlu melaksanakan langkah penguatkuasaan secara tegas dan konsisten, termasuk dari aspek pendidikan kesihatan dan perubahan tingkah laku, dan lain-lain program kesedaran.

“Kami yakin dengan menyokong penguatkuasaan Akta 852 ini, kerajaan sedang mengambil langkah yang tepat membawa masyarakat terutama generasi masa depan menjadi lebih sihat dan bebas daripada bahaya produk tembakau.

“Kami komited untuk terus bekerjasama dalam usaha ini dan berharap semua lapisan masyarakat turut serta dalam menjayakannya,” katanya.

Antara 24 NGO yang menyatakan sokongan kepada penguatkuasaan akta itu ialah Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM); Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC); Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA); Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-MEDIK) dan Akademi Farmasi Malaysia (MAP).

Bermula 1 Oktober lalu, Akta 852 yang diwartakan pada 2 Februari lalu berkuat kuasa serentak bersama Peraturan-Peraturan dan Perintah di bawahnya.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan memaklumkan, penguatkuasaan akta itu membabitkan beberapa aspek yang bakal dikuatkuasakan secara serta-merta dan juga secara berfasa.

Aantara aspek yang dikuatkan serta-merta termasuk peruntukan membabitkan penjualan produk merokok berbentuk permainan dan menarik perhatian golongan kanak-kanak dan remaja bagi mengekang kebolehdapatan produk terbabit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast