KUALA LUMPUR – Seramai 61 peserta membabitkan pegawai dan polis pengiring istana di seluruh negara mengikuti program Kursus Asas Rawatan Kecemasan di Istana Negara Siri kedua 2024, semalam.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Zailani Hashim berkata, ia bagi memberi pendedahan, pengetahuan dan kaedah bertindak untuk kecemasan semasa mereka bertugas.

“Ini adalah kursus kali yang kedua kita adakan, cuma kelainan kali ini adalah kita melibatkan banyak pihak sebab mereka bukan sahaja didedahkan dari aspek keselamatan, tetapi juga pendedahan awal dari aspek keperluan rawatan kecemasan.

“Ini kerana dalam tempoh empat minit (kecemasan), ia boleh memberi suatu impak jikalau mereka (peserta) didedahkan dengan rawatan yang afdal untuk menyelamatkan kecederaan serta nyawa, itu intipati sebenar signifikan dalam kursus asas rawatan ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Istana Negara, di sini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Zailani Hashim.

Tambah beliau, kursus asas yang diadakan itu melibatkan pegawai dan polis pengiring dari lapan istana serta empat pejabat Yang diPertua Negeri (TYT).

“Kita juga libatkan mereka daripada Medic Group, Hospital Kuala Lumpur (HKL) termasuk Angkatan Pertahana Awam Malaysia (APM) yang menyumbang dalam tema ini bagi memastikan kecemasan rawatan penting.

“Mungkin untuk program seterusnya kita bukan sahaja adakan dalam istana, akan turut melibatkan pihak lain sepert KPJ Specialist dan HKL untuk memberikan taklimat,” jelasnya.

Menerusi program itu, kesemua peserta didedahkan dengan kemahiran membantu mangsa Cardiopulmonary Arrest dengan mempelajari Cardiopulmonary Resuscitation (CPR).

Selain itu, mereka didedahkan kepada fungsi dan kaedah penggunaan mesin Automated External Defibrillator (AED) serta mempelajari kemahiran dalam mengenalpasti keadaan kecemasan seperti Sudden Cardiac Arrest (SCA).

Malah peserta didedahkan dengan kecemasan semasa dalam tugas sebagai persediaan sekiranya berlaku kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong serta warga Istana Negara yang lain. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here