Anwar Ibrahim bersalam dengan Anthony Blinken #malaysiagazette

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Anthony Blinken menggunakan pengaruh negara itu memastikan israel memantuhi usul gencatan senjata di Palestin.

Gesaan itu dibuat Anwar ketika bertemu Blinken pada hari kedua Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di Vientiane, Laos.

“Malaysia turut menyatakan penghargaan atas peranan penting AS membabitkan Resolusi Majlis Keselamatan PBB (UNSC) 2735 terkait usul gencatan senjata dalam konflik Palestin-Israel.

“Pada masa sama, saya turut menggesa AS menggunakan pengaruhnya untuk memastikan resolusi ini segera dilaksanakan dan dipatuhi oleh Israel,” katanya dalam kenyataan.

Anwar mengetuai delegasi Malaysia dalam pertemuan dengan Anthony Blinken dan delegasinya

Pertemuan lebih 40 minit itu juga digunakan untuk bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menyentuh kepentingan Malaysia dan AS.

“Saya tekankan kepentingan AS sebagai antara rakan dagangan utama Malaysia sejak sekian lama, dengan pelaburan-pelaburan syarikat AS antara penyumbang utama menjadikan negara ini muncul sebagai pusat pelaburan bagi sektor teknologi tinggi di rantau ini.

“Ini termasuklah beberapa pelaburan terkini berjumlah AS$14.7 bilion daripada gergasi teknologi AS, termasuklah Google, Microsoft, Enovix Corporation, Amazon Web Services, Abbott Laboratories dan Boeing,” kata Anwar.

Israel telah menyerang Palestin lebih daripada setahun dengan jumlah kematian melebih 42,000 orang kebanyakannya bayi, kanak-kanak, wanita dan orang tua di Gaza dan Tebing Barat.

Negara Zionis itu turut menyerang Beirut, Lubnan yang telah menyebabkan lebih 2,000 kematian.

Media sebelum ini melaporkan Israel mendakwa AS membantu negara itu dengan membekalkan lebih 50,000 tan bom dan senjata ketika serangan ke atas Gaza dilakukan.

Menurut Kementerian Pertahanan Israel, AS menggunakan 500 pesawat pengangkut dan 107 kapal laut untuk menghantar senjata yang telah digunakan untuk membunuh lebih penduduk Gaza selain memusnahkan secara total wilayah Palestin itu.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here