Anwar Ibrahim

VIENTIANE- ASEAN dan Beijing mencapai kata sepakat untuk mengelakkan keganasan di Laut China Selatan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata China dan semua negara anggota blok serantau itu turut bersetuju untuk menggunakan jalur diplomatik dan rundingan bagi menyelesaikan pertikaian di perairan itu semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini.

“Saya cadangkan kalau boleh guna jalur ASEAN misalnya. Tentunya sedikit perkembangan di Filipina itu membimbangkan dan kita telah sampaikan.

“Ada jaminan dari Perdana Menteri (China) Li Qiang hal ini akan diurus secara damai ikut semangat Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982,” katanya kepada media Malaysia pada hari terakhir sidang kemuncak itu, hari ini.

Pertikaian di Laut China Selatan menjadi antara tumpuan 10 negara ASEAN dan rakan dialog mereka China semasa sidang kemuncak berkenaan, dengan penekanan diberikan kepada hak untuk mempertahankan kedaulatan negara masing-masing.

Pada Ogos lepas, Filipina dan China saling menuding jari berhubung kes rempuhan kapal pengawal pantai berhampiran Beting Sabina di perairan Laut China Selatan yang merupakan konfrontasi maritim kelima antara kedua-dua negara dalam tempoh sebulan.

Afiliasi wilayah beberapa pulau dan terumbu di Laut China Selatan telah menjadi subjek pertikaian antara China, Filipina dan beberapa negara Asia Pasifik lain selama beberapa dekad.

Mengenai konflik di Myanmar, Anwar berkata Malaysia menekankan usaha meningkatkan pertemuan dengan pihak berkepentingan di Myanmar untuk menyelesaikan krisis di negara itu.

Myanmar menunjukkan perkembangan positif apabila menyatakan kesediaan untuk berbincang secara langsung dan aktif dengan Malaysia, katanya.

Anwar berkata beliau telah mengarahkan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan untuk menyelaraskan rundingan berkenaan.

“Walaupun kita terikat dengan prinsip yang disepakati antara pimpinan ASEAN iaitu Konsensus Lima Perkara (5PC) tetapi harus ada permulaan perbincangan secara tidak rasmi di peringkat tertinggi supaya kita dapat jelaskan kepada mereka (Myanmar),” katanya.

Sepanjang sidang kemuncak selama tiga hari itu, katanya krisis di Myanmar menjadi antara topik utama perbincangan dengan tumpuan diberikan kepada usaha mengekalkan keamanan di rantau Asia Tenggara.

Kira-kira 4,000 orang terbunuh dan hampir sejuta penduduk kehilangan tempat tinggal sejak kerajaan awam Myanmar digulingkan secara tiba-tiba dalam rampasan kuasa tentera pada Februari 2021.  Kira-kira 200,000 pelarian Myanmar kini berada di Malaysia.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata Malaysia menekankan kepentingan mempertahankan prinsip kebebasan ASEAN pada Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-19 hari ini.

Beliau berkata ini termasuk meneruskan hubungan baik dua hala dengan Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah selain meningkatkan hubungan dengan China.

“Pada masa sama (hubungan) dengan Rusia yang tidak disenangi oleh beberapa negara barat, tetapi saya tekankan sebagai negara bebas dan berdaulat, kita berhak menjalin hubungan dengan semua,” katanya.

Sidang Kemuncak Asia Timur melibatkan 18 negara iaitu 10 negara ASEAN, Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Rusia, Korea Selatan dan Amerika Syarikat.

-BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast