Fadhlina Sidek (kiri) dan Mas Ermieyati Samsudin.

KUALA LUMPUR – Kenyataan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek didakwa seolah-olah cuba melindungi tindakan Sekolah Menengah Swasta Chung Ling di Air Itam, Pulau Pinang menerima kehadiran sejumlah 165 kadet kapal Tentera Laut Republik Rakyat China.

Ahli Parlimen Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, beliau hairan apabila Fadhlina mendakwa kumpulan tersebut sebagai ‘pelajar universiti’.

“Kenyataan ini tidak benar, kerana 165 orang kadet PLAN dari kapal Qi Jiguang (kapal latihan) ini adalah mereka yang dalam proses dan tempoh peralihan untuk menjadi kelasi penuh tentera laut PLAN China dan bukanlah pelajar universiti seperti yang dinyatakan oleh YB Fadhlina.

“Ia seakan sama seperti anak-anak kapal KD Pelandok Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang menjalani latihan untuk menjadi kelasi penuh TLDM,” katanya dalam kenyataan.

Ermieyati turut mempertikaikan alasan Fadhlina, kononnya kehadiran kumpulan ‘pelajar’ terbabit bagi meraikan sambutan hubungan diplomatik 50 tahun Malaysia – China.

Beliau mendakwa, sambutan hubungan diplomatik berlangsuang pada 31 Mei lalu manakala sambutan kejayaan revolusi Komunis China di sambut pada 1 Oktober.

“Apakah lawatan ini dibuat sempena sambutan hubungan diplomatik 50 tahun Malaysia dan China atau sempena sambutan revolusi Komunis China sekaligus meraikan penubuhan RRC?” soal beliau.

Tambah Mas Ermieyati, tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Sekolah Menengah Swasta Chung Ling membuat sambutan besar-besaran menerima kunjungan kadet dan kelasi kapal Qi Jiguang dan Jinggang Shan merupakan satu kecuaian.

Katanya, pihak terbabit tidak sensitif terhadap situasi integriti kedaulatan maritim dan tuntutan bertindih yang dibuat China di Luconia Shoals atau gugusan Beting Patinggi Ali (BPA) yang terletak 84 batu nautika dari pesisir pantai Sarawak.

“Saya mahu bertanya, apakah sewaktu aktiviti pertukaran budaya yang dibuat di Sekolah Menengah Swasta Chung Ling, kadet-kadet PLAN ini ada menekankan bahawa Laut China Selatan merupakan wilayah laut mereka di bawah ‘nine-dash line’?

“Saya juga ingin bertanya apakah pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) maklum berkenaan aktiviti ‘port call’ yang dibuat oleh PLAN Task Group 83 di Pulau Pinang serta memantau secara dekat sambutan luar biasa yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk kadet dan kelasi PLAN China ini?

“Apakah rasional pihak Kerajaan Negeri yang membuat sambutan luar biasa kepada kepimpinan dan kadet serta kelasi kapal Qi Jiguang dan Jinggang Shan pada 10 Oktober 2024,” soalnya.

Semalam Fadhlina menjelaskan dakwaan kehadiran tentera dari China ke sebuah sekolah persendirian di Pulau Pinang, Sabtu lalu adalah tidak benar.

Sebaliknya, menurut beliau, mereka terdiri daripada sekumpulan penuntut termasuk pensyarah dari Naval University of China.

Beliau berkata, rombongan yang membawa seramai 165 penuntut termasuk pensyarah itu adalah berkaitan program sempena 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia-China. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here