KUALA LUMPUR – Skuad kebangsaan, Harimau Malaya seri 1-1 dengan kelab New Zealand, Auckland FC dalam perlawanan antarabangsa Tier 2 yang berlangsung di Stadium Go Media, Auckland hari ini.
Pasukan bimbingan Pau Marti Vicente itu ketinggalan apabila pemain lawan, Francis de Vries menjaringkan gol untuk Auckland FC pada minit ke-25 namun Nooa Laine berjaya mengikat kedudukan dengan jaringan pada minit ke-59.
Vicente menyifatkan perlawanan itu sebagai latihan terbaik bagi pasukannya menjelang perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang New Zealand di Stadium North Harbour pada Isnin depan.
Pengendali dari Sepanyol itu menyatakan meskipun Auckland FC adalah sebuah kelab baharu dan memiliki barisan pemain berkualiti.
“Saya rasa kami dapat perlawanan yang baik menentang Auckland FC kerana mereka adalah kelab yang kuat dan walaupun baru dalam Liga Australia, mereka mempunyai pemain yang bagus.
“Bagi kami, ini ujian yang baik kerana kami menjangkakan corak permainan yang serupa iaitu fizikal, pantas, dan berintensiti tinggi apabila berdepan New Zealand,” katanya dalam kenyataan.
Vicente juga menyatakan ramai pemain diberi peluang bermain selama 45 minit dan beliau berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan.
“Walaupun mereka tidak bermain 90 minit penuh, esok akan ada sesi pemulihan dan pada hari Ahad kita akan membuat persiapan untuk perlawanan penting menentang New Zealand,” tambahnya. – MalaysiaGazette