Peserta Himpunan Setahun Taufan Al Aqsa dihalang anggota polis untuk menyerahkan memorandum di Kedutaan Amerika Syarikat (AS), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 11 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan Himpunan Mega Solidariti Palestin Setahun Genosid Gaza yang berlangsung di Jalan Tun Razak, ibu negara hari ini berlangsung secara aman.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohammad Lazim Ismail turut berkata, tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku sepanjang himpunan itu diadakan.

“Lebih kurang 200 orang menyertai perarakan tersebut yang bermula dari surau Tabung Haji (TH) menuju ke Bangunan Icon, Jalan Tun Razak.

“Perhimpunan yang bermula jam 2 petang itu diadakan secara aman dan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku ia sepanjang berlangsung,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau lagi, seramai 298 anggota dan pegawai terlibat untuk mengawal keselamatan sepanjang himpunan itu diadakan selepas solat Jumaat.

Terdahulu, lebih 200 peserta termasuk badan bukan kerajaan (NGO) terlibat dalam Himpunan Mega Setahun Al -Aqsa yang bermula dari Menara Tabung Haji (TH) menuju ke Kedutaan Amerika Syarikat (AS).

Ia bagi menyerahkan memorandum bantahan terhadap kuasa besar itu yang terus menjadi pembekal dan penyumbang senjata utama kepada rejim Israel untuk menyerang Palestin.

Selain itu, menggesa untuk menutup kedutaan AS di Malaysia sekiranya tiada ketegasan daripada pihak negara itu dalam meredakan konflik di Timur Tengah yang kini sedang merebak ke Lubnan.

Serahan memorandum kepada Kedutaan AS itu diketuai oleh Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid atau Cikgu Azmi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here