Rosmah Mansor

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini belum dimaklumkan status representasi yang dikemukakan oleh Datin Seri Rosmah Mansor untuk membatalkan 12 tuduhan pengubahan wang haram dan lima kes gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah menghantar tiga representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi membatalkan kes terhadapnya sebelum ini.

Dalam pada itu ketika prosiding, peguam mewakili Rosmah, Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin berhujah, anak guamnya tidak sepatutnya didakwa dalam kes mengelak cukai daripada awal lagi kerana ia didakwa cacat dan tidak sah daripada segi undang-undang.

Kata beliau, tuduhan itu juga menyebabkan kualiti hidup Rosmah terjejas tuduhan menyalahi undang-undang telah dikenakan kepadanya.

“Anak guam saya terpaksa membayar yuran guaman selain wang jaminan RM1 juta kerana pertuduhan yang cacat dan salah di sisi undang-undang. Kes ini juga satu proses penyalahgunaan proses mahkamah.

“Selain itu, beliau (Rosmah) juga perlu hadir untuk semua prosiding tiap kali,” katanya.

Hujah peguam itu lagi, pendakwaan tidak sepatutnya menggunakan Seksyen 112 AKta Cukai Pendapatan (ITA) dalam Jadual Kedua Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFA).

Ini kerana seksyen itu berkaitan kegagalan memberi penyata cukai, katanya.

“Kegagalan memfailkan penyata cukai tidak boleh anggap sebagai telah menjana hasil daripada aktiviti haram yang salah dalam undang-undang. Jadi adakah sebahagian besar penduduk akan didakwa bawah AMLATFA hanya kerana gagal mengisytiharkan cukai pendapatan mereka,” ujarnya.

Prosiding akan bersambung pada 12 November depan.

Rosmah sedang berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 juta dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada LHDN antara 2013 dan 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) AMLATFPUAA 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Rosmah didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here