Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam.

KUALA LUMPUR – Media dilihat tidak menghormati privasi dan kehidupan peribadi personaliti terkenal berikutan penularan berita yang meluas mengenai perceraian.

Khutbah Jumaat di Selangor yang bertajuk ‘Kukuhkan Ikatan Perkahwinan, Elakkan Penceraian’ hari ini berkata, penularan berita tersebut boleh memberi kesan negatif kepada pasangan terbabit.

“Perceraian bukanlah sesuatu yang harus digembar gemburkan kerana ianya merupakan satu pengalaman yang sangat peribadi, pahit dan menyakitkan.

“Media seharusnya berperanan dalam membina masyarakat yang positif dan sihat, bukan memburukkan keadaan,” katanya.

Khutubah yang diterbitkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor itu berkata, media seharusnya menyampaikan berita yang seimbang dan tidak hanya membangkitkan isu kontroversi.

Katanya, platform media adalah untuk mendidik masyarakat tentang pentingnya menjaga hubungan yang sihat dan cara menangani perpisahan dengan baik.

Khutbah tersebut turut menasihatkan pasangan suami isteri yang menghadapi konflik rumahtangga tidak meluahkan masalah kepada media sosial atau secara terbuka.

“Pasangan suami isteri yang menghadapi konflik rumahtangga, hendaklah merujuk kepada pejabat-pejabat agama.

“Dan janganlah luahkan perasaan dan kelemahan pasangan kepada individu yang tidak sepatutnya atau melalui media sosial, kecuali kepada individu-individu lain yang dibenarkan oleh hukum syarak sahaja,” katanya.

Tambahnya, setiap pasangan yang telah membuat keputusan terpaksa bercerai hendaklah bersabar ketika menunggu proses perceraian.

Proses perceraian yang ditetapkan oleh pihak berkuasa juga perlu efisien dan tidak menzalimi pasangan.

Bagi pasangan yang masih mempunyai ikatan yang sah mereka perlu membuang sikap ego, pentingkan diri dan sikap suka menyalahkan di antara satu sama lain.

Mereka juga perlu mengelakkan diri daripada menggunakan kata-kata kesat sesama pasangan, amalkan menegur secara berhemah dan jagalah perasaan sesama pasangan.

Terkini peminat Nur Fazura dan Fattah Amin dikejutkan dengan berita penceraian pasangan itu yang menjadi sensasi dengan pelbagai tuduhan yang dilaporkan oleh media. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast