Sivakumar berehat
Chong Yew Chuan

KUALA LUMPUR – Pemuda MCA melahirkan rasa bimbang dengan laporan yang mendakwa sebuah syarikat media sosial gergasi mengambil keputusan memberhentikan kira-kira 500 pekerjanya di negara ini.

Lebih meresahkan, kata ketuanya, Mike Chong, keputusan itu difahamkan diambil susulan kebergantungan kepada teknologi kecerdasan buatan (AI) yang dilihat jauh lebih efisien dan kos efektif dalam jangka masa panjang.

Tambah beliau, jika dakwaan itu benar, kerajaan perlu menjelaskan langkah atau tindakan yang akan diambil dalam usaha membela nasib ratusan pekerja terbabit.

Dalam masa sama, beliau menggesa kerajaan menjelaskan kedudukan negara dalam rancangan pemilik TikTok, ByteDance untuk melabur kira-kira RM10 bilion bagi teknologi AI dan menjadikan Malaysia sebagai hab AI di rantau ini seperti dinyatakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada Jun lalu.

“Apakah bentuk penglibatan Malaysia dalam pelaburan ini memandangkan ia dikatakan akan membantu Malaysia mencapai sasaran untuk mengembangkan ekonomi digital kepada 22.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menjelang 2025.

“Bagaimana kerajaan dapat mengimbangi pembangunan AI dan dalam masa sama menjaga kepentingan golongan pekerja juga perlu diperincikan secara mendalam.

“Penglibatan kerajaan amat perlu bagi menyelesaikan isu ini dan ia juga merupakan amaran buat Malaysia supaya lebih bersedia pada masa hadapan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, pemilik aplikasi media sosial popular, TikTok iaitu ByteDance mengambil keputusan untuk memberhentikan lebih 500 pekerja di negara ini.

Memetik laporan portal The Malaysian Reserve (TMR), keputusan itu dimaklumkan menerusi e-mel yang dihantar kepada kakitangan terlibat.

Difahamkan, ia berikutan majoriti kakitangan mengusahakan kandungan video di platform yang tidak hanya terhad di Asia Tenggara, tetapi di rantau lain juga.

Sementara itu, Mike Chong mencadangkan kerajaan menyedia dan memperbanyakkan program latihan untuk melahirkan lebih ramai pekerja tempatan yang berkemahiran tinggi khususnya dalam bidang AI dan teknologi.

Dalam masa sama, ujar beliau, Pemuda MCA juga berharap penglibatan lebih baik antara kerajaan dan pelabur asing untuk memastikan pelaburan yang masuk memberi manfaat kepada Malaysia terutama dari segi peluang pekerjaan dan limpahan ekonomi tempatan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here