Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (MINDEF) meletakkan soal keselamatan pegawai dan anggota Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 di Lubnan sebagai keutamaan ketika ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohaed Khaled Nordin berkata, keputusan sama ada untuk membawa pulang pasukan MALBATT akan dilakukan oleh Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).

“Kita dalam sehari tiga hingga empat kali dapat laporan. Kita sedang teliti, memang kita tidak nafikan pihak Pasukan Pertahanan Israel (IDF) telah melakukan provokasi kepada pasukan Ireland yang berdekatan sempadan Lebanon.

“Pasukan kita atas sikit, jadi kita tunggu keputusan bersama,” katanya pada Majlis Peluncuran Inisiatif ‘Perajurit Broadband’ di Auditorium Kementerian Pertahanan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, semua pasukan di bawah UNIFIL termasuk MALBATT 850-11 sudah diarahkan untuk tidak melaksanakan operasi rondaan atau pergerakan logistik.

“Mereka sentiasa ada dalam bunker (kubu). Satu jangka masa berada di dalam bunker sekitar 12 hingga 13 jam. No activity (tiada aktiviti) tetapi UNIFIL masih belum buat keputusan sama ada untuk dipindahkan, mesti ada dekat situ,” ujarnya.

Terdahulu media melaporkan, dua anggota pengaman Indonesia UNIFIL cedera dalam serangan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) di selatan Lubnan.

Menteri Luar, Retno Marsudi mengesahkan kedua-dua anggota itu mengalami cedera ringan akibat tembakan kereta kebal IDF ketika mereka sedang memantau dari menara pengawal di pangkalan kontingen Indonesia di Naqoura pada pagi Khamis.

Sebelum itu, Kementerian Luar Indonesia mengumumkan memindahkan 65 warganya dari Lubnan susulan serangan udara Israel di negara itu.

Menurut Judha Nugraha, pengarah perlindungan warga kementerian berkenaan, 25 daripada mereka yang dipindahkan telah pulang ke tanah air, manakala selebihnya mendarat di Amman, Jordan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast