Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pakar ekonomi menjangkakan pelarasan subsidi bahan api RON95 akan dilaksanakan tahun depan iaitu selepas maklumat peribadi penduduk menerusi Pangkalan Data Utama (PADU) siap dikemas kini sepenuhnya.

Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff turut menjangkakan pelarasan subsidi bahan api RON95 itu akan dibuat pada julat harga tidak melebihi RM3 seliter iaitu kadar yang disifatkan tidak terlalu memberi kejutan dan tekanan ekonomi kepada rakyat.

Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul La­tiff

Menjelaskan lebih lanjut, beliau menambah, penyelarasan dilihat wajar memandangkan bakal menjimatkan perbelanjaan kerajaan dengan ketara sekali gus membolehkan lebih banyak bantuan disalurkan kepada pihak yang memerlukan.

Tambah Ahmed Razman, langkah penyelarasan itu juga akan meningkatkan lagi aktiviti ekonomi sekali gus menyumbang kepada kepesatan ekonomi negara pada tahun hadapan.

Dalam masa sama, beliau menjangkakan kaedah penyelarasan subsidi RON95 itu akan dilaksanakan menggunakan MyKad dan dompet elektronik (e-wallet).

“Untuk tidak membebankan rakyat ekoran kenaikan harga bahan api RON95 itu, kerajaan bagaimanapun perlu meneruskan dan meningkatkan kawalan harga terhadap barangan asas.

“Selain itu, inisiatif Sumbangan Tunai Rahmah juga perlu ditingkatkan jumlahnya dan individu yang layak menerima subsidi RON95 turut diperluaskan kelayakannya termasuk meliputi golongan M40,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sebelum ini, beberapa pemerhati ekonomi menyifatkan sekarang adalah masa yang sesuai untuk kerajaan mempertimbangkan pelarasan subsidi bahan api RON95 berikutan pengukuhan ringgit dan penurunan harga komoditi global.

Memetik kenyataan ahli ekonomi CGS International, Nazmi Idrus seperti dilaporkan media baru-baru ini, kata beliau, perbezaan antara harga pasaran RON95 dan harga subsidi kini adalah dalam julat yang paling rendah sejak akhir pandemik Covid-19.

Ujar beliau lagi, pengukuhan ekonomi domestik serta kestabilan politik juga mewujudkan peluang untuk kerajaan melaksanakan reformasi subsidi bahan api RON95 tanpa menjejaskan kestabilan pasaran secara ketara.

Terdahulu, bermula 10 Jun lalu, kerajaan menyelaraskan harga diesel mengikut harga pasaran dengan harga permulaan di semua stesen runcit petrol di Semenanjung Malaysia ditetapkan pada harga RM3.35 seliter.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata penjimatan yang dianggarkan sebanyak RM4 bilion daripada penyasaran subsidi diesel itu dijangka memberi ruang fiskal yang lebih luas kepada kerajaan dalam usaha mempertingkatkan kualiti pelbagai perkhidmatan yang menjadi kepentingan kepada rakyat. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here