Seorang pengusaha restoran nasi kandar warga Bangladesh, Rezaul Shajahan Ali, 37, didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh selepas mengaku bersalah memberi rasuah kepada pegawai Imigresen, bulan lalu.

IPOH – Seorang pemilik restoran nasi kandar warga Bangladesh didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat selepas mengaku bersalah memberi rasuah kepada pegawai Imigresen, bulan lalu.

Tertuduh, Rezaul Shajahan Ali, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ibrahim Osman.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama tiga bulan sekiranya lelaki itu gagal menjelaskan denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan pilihan, Rezaul didakwa telah memberi rasuah bernilai RM10,000 kepada seorang pegawai Imigresen sebagai suatu balasan baginya untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap 13 pekerjanya.

Pekerja di restoran yang terletak di Behrang itu didapati telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) ( c ) dan Seksyen 15 (1) ( c ) Akta Imigresen 1959/1963, serta Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Kesalahan rasuah itu dilakukan kira-kira jam 3.30 petang di pejabat Jabatan Imigresen Malaysia Negeri di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), Persiaran Meru Utama, Bandar Meru Raya, pada 12 September lalu.

Bapa kepada lima anak itu didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum 10 tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding berlangsung, mahkamah turut memerintahkan wang rasuah RM10,000 dilucut hak kepada kerajaan Malaysia di bawah Seksyen 40(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Sharul Azuan Ghazali dan Mohd Afiq Adnan, manakala manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here