KUALA LUMPUR – Jalan Lebuh Raya Kajang Seremban (LEKAS) akan ditutup sepenuhnya kepada kenderaan bermula 12 hingga 13 Oktober ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, penutupan itu dibuat bagi memberi laluan kepada acara perlumbaan berbasikal RHB Lekas Highway Ride 2024 yang akan diadakan pukul 7.45 petang Sabtu ini.
“Bersempena acara berbasikal tahunan yang memasuki edisi kesembilan kali ini, pihak Lebuhraya LEKAS selaku penganjur akan menutup sepenuhnya keseluruhan laluan lebuh raya tersebut.
“Penutupan itu akan dilaksanakan bermula 5 petang Sabtu ini sehingga jam 4 pagi Ahad iaitu 13 Oktober ini,”katanya dalam kenyataan malam tadi.
Tambah Hussein, berikutan dengan penutupan Lebuh Raya LEKAS, sebanyak enam jalan utama terlibat dengan penutupan dan juga lencongan trafik iaitu Kilometer 2 Lebuh Raya LEKAS menghala ke Seremban; Lebuh Raya LEKAS susur keluar ke arah Bandar Teknologi; Lebuh Raya LEKAS susur masuk dari arah Semenyih.
“Turut terlibat dalam penutupan dan lencongan adalah membabitkan Lebuh Raya LEKAS susur keluar ke arah Ecohill; Jalan Bangi Lama susur masuk ke Lebuh Raya LEKAS dan akhirnya Jalan Eco Majestic menghala ke Lebuh Raya LEKAS (Plaza Tol Eco Majestic),” ujar beliau.
Sehubungan itu, Hussein turut menasihatkan semua pengguna jalan raya agar mengelak daripada melalui jalan-jalan yang terlibat dengan penutupan dan lencongan.
“Polis juga meminta awam agar merancang perjalanan mereka supaya tidak terlibat dalam kesesakan lalulintas dan mematuhi arahan pegawai dan anggota polis yang bertugas di lapangan sepanjang tempoh penutupan itu,” katanya. – MalaysiaGazette