KUALA LUMPUR – Sebanyak RM99 juta diperuntuk bagi melaksanakan inisiatif program JENDELA bersama Kementerian Pertahanan.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, inisiatif itu termasuk mewujudkan infrastruktur fiber optik di semua 73 kem atau pangkalan yang terlibat yang mencakupi sebanyak 59,420 pintu Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT).
“Kita mahu menambah baik perkhidmatan liputan selular sedia ada di dalam pelbagai kawasan RKAT. Kita menyasarkan untuk menyediakan perkhidmatan Internet dengan kos yang rendah terutama kepada warga Kementerian Pertahanan dan anggota tentera khususnya anggota Lain-Lain Pangkat yang juga dikategorikan sebagai golongan B40,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Peluncuran Inisiatif Perajurit Broadband di Auditorium Kementerian Pertahanan di sini hari ini.
Hadir sama pada majlis itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman.
Pada masa sama, Mohamed Khaled turut melancarkan Inisiatif Perajurit Broadband yang menyediakan pakej langganan harga mampu milik serendah RM49 dengan kelajuan 100 Mbps.
“Harga yang murah ini adalah satu pengiktirafan dan cara Kerajaan Perpaduan menghargai jasa serta pengorbanan warga ATM dalam memastikan kedaulatan negara terus terpelihara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian Pertahanan mengambil pendekatan kemaslahatan serta kebajikan warga ATM di kem-kem di seluruh negara bukan perkara sampingan.
Katanya, ia tidak boleh sekadar menjadi sisipan sebaliknya agenda kebajikan dan kemaslahatan mesti diangkat bersama-sama dengan agenda kesiagaan ATM.
Ujarnya, kualiti dan kesejahteraan hidup dalam lingkungan kem-kem ATM di seluruh negara akan memberi pulangan serta kesan tidak langsung yang sangat besar, khususnya kepada pertahanan negara.
“Ia memberi kelegaan dan ketenangan kepada warga kem…ia menjadi motivasi kepada semua anggota ATM untuk memberi yang terbaik.
“Jadi, akses kepada maklumat yang kita lancarkan hari ini merupakan satu lagi perkara yang akan melengkapkan ekosistem kebajikan anggota ATM.
“Saya harap, lebih banyak syarikat telekomunikasi negara akan menyertai inisiatif ini dan menawarkan pakej-pakej yang lebih menarik di masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, Fahmi pula berkata, ia merupakan satu langkah yang dilakukan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dalam menyelesaikan masalah kesaling hubungan yang dihadapi oleh warga ATM.
Katanya, penyediaan dana sebanyak RM99 juta oleh SKMM bagi tujuan itu akan dapat melengkapkan jalur lebar ke rumah dan dijangka membantu lebih 55,000 pintu bagi rumah-rumah anggota tentera dengan menyediakan internet berkelajuan 100 mbps.
Beliau turut memaklumkan ada memohon peruntukan tambahan kepada SKMM untuk memberikan harga khas sebanyak RM39 selama enam bulan.
“Usaha ini adalah fasa pertama dan seterusnya kita akan meneliti prasarana infrastruktur jaringan komunikasi markas Pejabat Kementeian Pertahanan dan Angkatan Tentera melibat liputan dalaman dan luaran termasuk fiber dan wifi.
“Jadi ini kita laksanakan dalam fasa kedua..ada angkanya tapi saya minta SKMM meneilti dan kita jangka keseluruhan proses pelaksanaan akan mengambil masa 18 ke 24 bulan dan kita telah mulakan dan lebih rancak pada Januari 2025,” katanya. – MalaysiaGazette