Datuk Seri Yahaya Othman

KUANTAN – Seorang suri rumah kerugian berjumlah RM103,517 gara-gara diugut bakal menerima waran tangkap akibat diperdaya individu yang menyamar sebagai pegawai insurans dan pegawai polis.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, wanita berusia 54 tahun itu kehilangan wang simpanan Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputera (ASB) dalam kejadian di Raub.

”Pada 15 September 2024 mangsa telah menerima panggilan telefon daripada pihak insurans dan menyatakan bahawa mangsa terlibat dengan permohonan tuntutan insurans palsu.

”Panggilan telefon tersebut telah disambungkan pegawai polis yang mengatakan bahawa mangsa juga terlibat dengan rasuah dan penggubahan wang haram yang akan disenarai hitamkan.

”Waran tangkap juga akan dikeluarkan terhadapnya. Mangsa telah diarahkan untuk menukar kad ATM baru dan menyerahkan maklumat perbankan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Yahaya berkata, mangsa juga diarahkan memindahkan wang simpanan dari akaun ASB dan Tabung Haji ke akaun suspek.

Susulan itu, mangsa membuat semakan di bank semalam dan mendapati wang dalam akaunnya lesap.

Beliau menasihatkan orang ramai yang menerima panggilan yang meragukan supaya membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan bagi mengelak menjadi mangsa penipuan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here