Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak keluar selepas selesai memberi keterangan berhubung kenyataan fitnah bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dan sebuah syarikat penerbitan membabitkan pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu dalam buku berjudul ‘My Story: Justice in the Wilderness’ ketika di Mahkamah Tinggi Sivil, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 11 OKTOBER 2024.

SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendakwa reputasinya dengan sengaja diburukkan melalui dakwaan dalam buku ditulis oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas membabitkan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu dalam buku berjudul My Story: Justice in the Wilderness.

Dakwa Najib, namanya telah disebut secara terang-terangan dalam buku itu secara fitnah sebelum ia diedarkan kepada umum dalam dan luar negara.

Malah kata beliau, buku tersebut tidak pernah ditunjukkan kepadanya sebelum ia diterbitkan dengan kandungan yang didakwa fitnah ttanpa bukti atau fakta berasas.

Di hadapan hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Khadijah Idris, Najib ketika memberikan keterangan saksinya pagi ini berkata, buku tersebut telah diterbitkan sekitar Januari 2021 selain adanya versi e-book yang beliau hanya mengetahui kemudiannya. 

“Yang Arif, kandungan buku itu benar-benar mencalarkan dan memburukkan reputasi saya malah ia juga keluar ketika prosiding 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) sedang berjalan terhadap saya. Kandungan buku yang telah ditulis oleh seorang bekas Peguam Negara secara prejudis.

“Beliau (Tommy) menulis buku dengan menuduh saya terlibat dengan pembunuhan model Mongolia, Altantuya Sharibuu. Kononnya saya di sebalik pembunuhan tersebut dengan memberi arahan kepada bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Sirul Azhar dan Azilah Hadri untuk membunuh Altantuya.

“Saya tidak pernah memberikan apa-apa arahan seumpama itu. Saya tidak mengenali Altantuya mahupun pernah berjumpa dengan wanita itu. Pengakuan  bukan sahaja pernah saya sebut secara terbuka sebaliknya juga pernah bersumpah laknat tentang perkara ini beberapa kali,” katanya pada prosiding hari ini.

Tommy Thomas

Ketika itu peguam mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menyoal adakah beliau mengenali Abdul Razak Baginda yang dikaitkan dengan Altantuya dan bekas Ahli Parlimen Pekan itu berkata, individu itu pernah bekerja bawahnya sebagai penganalisis pertahanan ketika pentadbirannya.

“Abdul Razak terlibat dalam pembelian kapal selam daripada pembuat kapal selam Perancis, ini melibatkan perjanjian berbilion dolar untuk Kementerian Pertahanan bagi urusan pembelian kapal selam Scorpene. Saya difahamkan Altantuya adalah penterjemah dalam urusan ini.

“Saya tidak tahu tentang hubungan antara Razak Baginda dengan Altantuya sebaliknya hanya mengetahui adanya hubungan ‘romantis’ antara mereka melalui laporan media,” ujarnya.

Ketika ini, Najib yang juga mantan Ahli Parlimen Pekan menyaman Tommy yang telah mengarang dan menyebabkan penerbitan buku tulisannya dengan mengaitkannya dengan pembunuhan Altantuya pada 27 Oktober 2021.

Untuk makluman, ia saman kedua difailkan Najib selepas beliau mengambil tindakan undang-undang sama terhadap Tommy pada 22 Oktober lalu atas dakwaan melanggar kuasa dalam jawatan awam apabila mendakwanya dengan tuduhan dana 1MDB.

Tommy didakwa menulis dan menyebabkan buku berkenaan diterbitkan yang mana defendan membuat kenyataan fitnah yang serius terhadapnya dalam bab ke-42 buku itu dengan tajuk ‘Altantuya’.

Dakwa bekas Presiden UMNO itu, dirinya dipaparkan dengan meluas dalam bab 42 dan bab lain buku berkenaan yang mana pembaca akan mengetahui kenyataan fitnah terbabit merujuk kepadanya.

Najib memohon perintah supaya defendan memadamkan kenyataan fitnah dalam buku itu dan perintah injunksi menghalang defendan atau ejen mereka daripada mengeluarkan kenyataan sama selain permohonan maaf dari pihak-pihak tersebut.

Turut dipohon ialah ganti rugi am, teruk dan teladan serta relif lain difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Mahkamah akan sambung bicara pada 30 Jun 2025 nanti. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here