Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap pada majlis `pre-council BN’ di WTC, Kuala Lumpur, semalam. - Foto: FB Zahid Hamidi

 

KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berharap semua wakil rakyat parti itu dapat terus memainkan peranan berkesan pada persidangan Parlimen yang akan berlangsung minggu hadapan.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, melalui pendekatan itu, aspirasi membela rakyat dapat terus dilaksanakan kerajaan melalui dasar-dasar kompeten selaras dengan perkembangan ekonomi negara.

“Saya berharap agar semua Ahli Parlimen BN dapat memainkan peranan dengan efektif dalam sidang Parlimen kali ini, membawa suara dan kepentingan rakyat dengan penuh tanggungjawab,” katanya seperti dilaporkan portal UMNO Online hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata demikian pada majlis `Pre-council BN’ yang dihadiri Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Dewan Negara yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini semalam.

Menurut Ahmad Zahid, pada majlis itu, beliau turut mendengar pembentangan daripada Menteri-Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri daripada kalangan pemimpin BN mengenai isu-isu yang bakal dibentangkan dalam sidang Parlimen kali ini.

“Semasa berucap, saya menekankan bahawa kestabilan politik adalah kunci kepada pembangunan negara dan kita perlu komited untuk terus mendukung usaha ini demi kesejahteraan rakyat dan masa depan negara,” katanya.

Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga Parlimen ke-15 akan bermula Isnin ini sehingga 12 Disember depan yang turut menyaksikan pembentangan Bajet 2025 oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahimpada 18 Oktober ini. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here