WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) meluaskan sekatan ke atas sektor petroleum dan petrokimia sebagai tindak balas terhadap serangan Iran ke atas Israel pada 1 Oktober lalu.
Ia menambah, sektor petroleum dan petrokimia kepada perintah eksekutif sedia ada menyasarkan sektor utama ekonomi Iran untuk menafikan sumber kewangan Kerajaan Iran yang mungkin digunakan untuk membiayai dan menyokong program nuklearnya.
Perbendaharaan menyekat 10 entiti dan mengenal pasti 17 kapal sebagai harta yang disekat kerana penglibatan mereka dalam penghantaran petroleum dan produk petrokimia Iran bagi menyokong entiti yang ditetapkan AS iaitu National Iranian Oil Company atau Triliance Petrochemical Co. Limited.
Secara berasingan, Jabatan Negara berkata, ia turut mengenakan sekatan ke atas enam entiti yang terlibat dalam perdagangan petroleum Iran dan mengenal pasti enam kapal sebagai harta yang disekat.
“Selagi Iran menumpukan hasil tenaganya untuk membiayai serangan ke atas sekutu kami, menyokong keganasan di seluruh dunia, dan meneruskan tindakan lain yang tidak stabil, kami akan terus menggunakan semua mekanisme yang ada untuk memastikannya bertanggungjawab.
“Langkah-langkah ini akan diperkukuh dengan penyelarasan berterusan dengan rakan kongsi dan sekutu untuk menangani dan menentang tindakan Iran,” kata Setiausaha Negara Antony Blinken dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Penasihat Keselamatan Negara Jake Sullivan berkata, sekatan baharu termasuk langkah-langkah terhadap Ghost Fleet yang membawa minyak “haram” Iran kepada pembeli di seluruh dunia.
“Langkah-langkah ini akan membantu menafikan lagi sumber kewangan Iran yang digunakan untuk menyokong program peluru berpandunya dan memberikan sokongan kepada kumpulan pengganas yang mengancam Amerika Syarikat, sekutu dan rakan kongsinya,” kata Sullivan dalam satu kenyataan.
Iran melancarkan sekurang-kurangnya 180 peluru berpandu balistik ke atas Israel pada 1 Oktober sebagai tindakan balas terhadap pembunuhan pemimpin politik Hamas Ismail Haniyeh dan pemimpin Hezbollah, Hassan Nasrallah. – Agensi