Fadzli Mohamad Kamal

KUANTAN- Belanjawan 2025 diharapkan memberi penumpuan peningkatan capaian 5G di beberapa kawasan di Pahang barat.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, kawasan seperti Bentong, Raub, Cameron Highlands, Lipis, Rompin, dan Jerantut masih memerlukan penambahbaikan dalam rangkaian komunikasi mereka.

Sebagai contoh, negara maju diukur berdasarkan perkhidmatan atau akses komunikasi yang baik kepada rakyat dalam mengejar kemajuan.

Justeru Ahi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong itu berharap agar Malaysia bergerak seiring dengan kepesatan teknologi komunikasi.

”Harap di kawasan di Pahang Barat tidak dipinggirkan dalam pelaksanaan 5G ini, memandangkan ada kawasan masih belum memperoleh capaian 5G berbanding kawasan bandar seperti Temerloh dan Kuantan.

“Saya sudah meminta Digital Nasional Berhad (DNB) memberi perhatian khusus kepada Pahang Barat. Semoga ada penambahbaikan akses itu dalam bajet itu,” katanya.

Ini kerana polisi kerajaan negeri juga mengharapkan perkembangan seimbang dalam pembangunan ekonomi dan sosial supaya tidak ada kawasan tertentu yang tertinggal.

Dalam pada itu, Fadzli berharap kerajaan dapat memberi perhatian dalam pakej rangsangan khas bagi memperluas jaringan komunikasi dan meningkatkan akses tersebut dalam Belanjawan 2025.

Jelasnya, pertambahan peruntukan itu sangat penting untuk melancarkan pelaksanaan 5G yang dilaksanakan melalui inisiatif Jalinan Digital Negara (Jendela) dan DNB.

”Dengan adanya peruntukan pakej khas ini, kita percaya rakyat di kawasan pedalaman dan luar bandar akan mendapat akses yang lebih baik,” katanya.

Selain itu Fadzli meminta agar lebih banyak peruntukan disalurkan untuk program pembangunan anak muda membantu golongan belia negara ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast