Datuk Seri Yahaya Othman merasmikan program Hari Sukan Negara  Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang (IPK) di Kompleks PDRM Alor Akar hari ini

KUANTAN – Polis membuka tiga kertas siasatan berhubung insiden video tular mengaitkan komen Mohd Sophian Mohd Zain berkenaan isu peniaga di Cameron Highlands menerusi aplikasi Tiktok baru-baru ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, siasatan dibuka di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 9 (1) Akta Penghimpunan Awam 2012.

”Kita telah membuka kertas siasatan bagi memanggil mereka yang terlibat dalam masa terdekat.

”Arahan untuk menjalankan siasatan daripada pendakwa raya, jadi kita teruskan siasatan. Kita akan menganggil semua termasuk Ustaz Sophian untuk merakam percakapan,” katanya.

Yahaya Othman

Menurutnya, isu berkenaan telah mendapat perhatian dan komen oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Mengulas lanjut Yahaya berkata, sebelum ini ada dakwaan yang dibuat mengatakan peniaga di Cameron Highlands terancam selain dianaktirikan namun beliau menafikan isu berkaitan.

Sebaliknya Yahaya menasihati orang ramai supaya tidak menimbulkan isu yang boleh menggugat ketenteraman masyarakat.

”Dan apa yang dibuat (isu tular)  itu tidak harus memanggil orang luar untuk ditularkan, yang dipanggil sepatutnya agensi berkaitan tetapi tidak melakukannya. Jadi menggambarkan seolah-olah kerajaan tidak membantu golongan berkaitan.

”Saya nasihatkan jika membuat komen itu jangan sampai melibatkan kegusaran awam, atau perkara yang boleh menimbulkan fitnah sebelum membuat liputan atau membuat sebarang komen,” katanya,

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan program Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di Kompleks PDRM Alor Akar, di sini hari ini.

Mohd Sophian telah memuatnaik video dan komen berhubung dakwaan oleh 35 peniaga di Cameron Highlands yang ditekan akibat kenaikan harga sewaan mencecah sehingga RM7,500 pada September lalu.

Exco siasat dakwaan sewa pasar Cameron Highlands naik hingga RM5,000

Pengerusi Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang itu turut mendakwa ada kepincangan pengurusan yang dikendalikan oleh Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands (PKCH) terhadap peniaga tempatan di pusat peranginan itu.

Mengulas penganjuran HSN, Yahaya berkata, lebih 6,000 warga PDRM Pahang terlibat dengan penganjuran Hari Sukan Negara (HSN) 2024.

”Program sukan ini wajar dipraktikan setiap hari kerana ia boleh menjaga kesihatan.

”Apabila anggota dan pegawai bersukan, kita dapat tengok kadar mereka yang menghidap penyakit berkurangan,” tambahnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here