Nik Nazmi Nik Ahmad

KUALA LUMPUR – Hanya satu peratus daripada 285,000 metrik tan sisa elektronik berjadual atau e-sisa yang dihasilkan di Malaysia, dikumpul dan dilupuskan secara lestari setakat ini.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, 285,000 tan metrik itu adalah bersamaan dengan 24.5 juta unit barangan elektrik dan elektronik.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai untuk mengumpul dan melupuskan e-sisa secara lestari di pusat-pusat pengumpulan berdaftar bagi memelihara alam sekitar.

“Bagi memastikan pengurusan yang mesra alam, orang ramai boleh menghantar e-sisa  ke 251 pusat pengumpulan e-sisa berdaftar serta 64 kemudahan pemerolehan kembali di seluruh negara.

“Selain itu, sebagai inisiatif lain dalam menghadapi cabaran berkaitan e-sisa ini, kerajaan akan terus komited melaksanakan program iaitu Hari Pengumpulan E-sisa yang akan diadakan setiap hari Sabtu terakhir setiap bulan,” katanya.

Nik Azmi berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Jom E-Sisa di Setiawangsa, di sini, hari ini.

Karnival Jom E-sisa yang dianjurkan sempena Hari E-sisa Antarabangsa Sedunia itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang pengurusan e-sisa secara betul dan mempromosikan ekonomi kitaran bagi peralatan elektrik dan elektronik.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Pihak Berkuasa Tempatan  (PBT) yang telah bekerjasama dalam mewujudkan pusat pengumpulan e-waste berdaftar di kawasan masing-masing.

“Setakat ini, 14 pusat pengumpulan telah dibangunkan PBT iaitu tujuh di Sabah, enam di Perak dan satu pusat di Terengganu.

“Kerajaan juga dalam usaha membangunkan mekanisme pengurusan e-sisa daripada pengguna yang mengadaptasi konsep Peluasan Tanggungjawab Pengeluar (EPR) dan Perkongsian Tanggungjawab.

“Saya yakin semua penggiat industri, badan korporat dan sektor swasta akan terus komited bersama kerajaan dalam mencapai indikator yang ditetapkan di bawah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 dan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) ini,” tambahnya.

Beliau juga memberitahu bahawa pihaknya melihat perkembangan positif dalam diri masyarakat di Malaysia apabila kebanyakkan komuniti dan syarikat semakin cakna terhadap penjagaan alam sekitar, aspek sosial dan tadbir urus dalam operasi perniagaan untuk kekal berdaya saing di peringkat antarabangsa. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here