KUALA LUMPUR – Kerajaan komited memastikan Malaysia tidak dijadikan tempat pembuangan dan transit sisa elektronik berjadual atau e-sisa dari luar negara.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, usaha membanteras itu dibuat selaras dengan Konvensyen Basel, yang mana semua pergerakan bahan buangan terjadual yang merentasi sempadan perlu mendapat kelulusan terlebih dahulu sebelum sebarang aktiviti transit, penghantara, import dan eksport dijalankan
Menurutnya, sebanyak 42 kilang e-sisa tidak berlesen telah dikenal pasti sehingga September lalu dan lapan daripadanya sudah ditutup.
Manakala 22 masih dalam siasatan dan 34 premis beroperasi seperti biasa.
Bercakap pada sidang media selepas merasmikan Karnival Jom E-Sisa di Aeon MALL AU2, Setiawangsa di sini, hari ini, Nik Nazmi berkata, sebanyak 436 kontena ditahan antara 2020 hingga tahun ini, 88 (2020), 76 (2021), 30 (2022), 47 (2023) dan 195 (2024).
“Kerjasama juga telah dibentuk bersama pertubuhan bukan kerajaan luar yang menerima sebarang maklumat berkaitan pergerakan kapal meninggalkan pelabuhan di luar negara. Selain itu, kerjasama bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan pihak berkuasa lain.
“Kami juga dalam perbincangan dengan Kementerian Kewangan untuk memantapkan lagi Jabatan Alam Sekitar (JAS) supaya ia lebih diperkasa ketika berdepan isu berterusan ini,” tambahnya. – MalaysiaGazette