KUALA LUMPUR – Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Kesihatan Sabah hari ini bersetuju menubuhkan lima jawatankuasa kecil bagi menyelaras gerak kerja pembangunan kesihatan di negeri itu.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataan berkata, mesyuarat tersebut dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan Timbalan Ketua Menteri ll merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam.
“Mesyuarat yang julung kali diadakan bersama kerajaan negeri ini telah membincangkan isu-isu kesihatan Sabah selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“KKM komited untuk menyelesaikan isu-isu secara baik dan tuntas,” katanya.
Dr Dzulkefly percaya pembangunan kesihatan harus mapan dan mampan bagi menjamin kesaksamaan akses rakyat kepada kesihatan yang holistik, mudah diakses dan meningkatkan natijah kesihatan untuk semua, selaras dengan prinsip-prinsip di bawah gagasan besar Malaysia Madani.
Turut hadir pada mesyuarat itu, Ketua Setiausaha, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Seri Suriani Ahmad; Peguam Besar Sabah, Datuk Brenndon Keith Soh; Setiausaha Tetap, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) Sabah, Datuk Dr. Jamili Nais; Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Maria Chong serta pimpinan kanan kerajaan Sabah. – MalaysiaGazette
KKM, Sabah, Kesihatan